JOHOR BAHRU – Pasangan kekasih yang ditahan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) ketika berdua-duaan dalam bilik hotel di daerah ini, awal pagi tadi mendakwa bakal mendirikan rumah tangga.
JAINJ dalam satu kenyataan berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 2 pagi, pasangan tersebut yang berusia 20an ditahan selepas membuka pintu bilik hotel berkenaan.
“Selepas tujuh minit mengetuk pintu, pintu itu kemudiannya dibuka oleh seorang wanita yang memakai baju kemeja T dan berseluar panjang serta menutup rambut dengan tuala.
“Selepas penguat kuasa memperkenalkan diri dan menunjukkan kad kuasa, wanita berkenaan terkedu bila ditanya sama ada berseorangan sebelum penguat kuasa terus masuk membuat pemeriksaan,” katanya dalam kenyataan.
Menurut kenyataan itu, hasil pemeriksaan dijalankan mendapati ada seorang lelaki sedang baring dan berselimut di atas katil tanpa seurat benang.
Menurutnya, ketika ditanya, wanita tersebut memberitahu itu lelaki tersebut yang berusia 20-an dan masih bujang adalah teman lelakinya.
“Lelaki tersebut yang dipercayai bekerja di Singapura sedang bercuti dan wanita itu pula tidak bekerja. Mereka adalah pasangan kekasih dan ada rancangan hendak berkahwin. Ketika kejadian, wanita itu memberitahu keluarga bahawa dia berjalan ke rumah kawan wanita,” katanya.
Menurut JAINJ, pasangan itu kemudian dibawa ke balai polis untuk membuat laporan sebelum proses jaminan ahli keluarga dan ditahan di lokap.
Katanya, pasangan berkenaan akan dituduh di Mahkamah Syariah mengikut Seksyen 24 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor kerana persediaan melakukan zina yang boleh membawa hukuman denda sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya.- KOSMO! ONLINE