fbpx
MINYAK sawit mentah dipercayai diseleweng yang dirampas pihak berkuasa. Ihsan PDRM

30 tan minyak sawit mentah diseleweng dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kegiatan pemindahan minyak sawit mentah secara tidak sah terbongkar selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyerbu sebuah lokasi di Taman Jalan Kem, Pelabuhan Klang di sini semalam.

Dalam operasi kira-kira pukul 4 petang itu, polis berjaya merampas kira-kira 30 tan minyak sawit mentah bersama beberapa kenderaan dan peralatan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Amanjith Singh berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota Cawangan Risik Batalion 4 PGA Semenyih dengan kerjasama pegawai Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Stesen Pelabuhan Klang serta Pasukan Ronda Cegah Jenayah (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.

Menurut beliau, dua lelaki tempatan berusia antara 22 hingga 36 tahun turut ditahan dalam operasi tersebut.

“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek sedang menjalankan aktiviti pemindahan minyak sawit mentah secara tidak sah.

“Pihak polis turut menemukan kira-kira 30,000 kilogram minyak sawit mentah bersama sebuah lori treler tangki 40 kaki, sebuah lori rigid tiga tan serta beberapa peralatan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, semua suspek dan barang rampasan dibawa ke MPOB Stesen Pelabuhan Klang untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat di bawah Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 dan Akta Pengangkutan Jalan.

“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM505,000,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN