KOTA BHARU – Seorang jurujual kereta didenda RM5,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyimpan video lucah iaitu video hubungan intim dengan kekasihnya pada bulan lalu.
Tertuduh, Wan Amirul Izuddin Wan Mohamad, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki video lucah di dalam telefon bimbit miliknya iaitu iPhone 15 Pro Max di sebuah rumah di Pengkalan Chepa di sini kira-kira pukul 11.45 malam pada 10 April lalu.
Wan Amirul Izuddin dituduh mengikut Seksyen 292(A) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nadzir Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Zaimah Mohamed.
Terdahulu, Muhammad Nadzir memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor kepentingan awam sekali gus memberi pengajaran kepada tertuduh agar tidak mengulangi kesalahan itu.
“Pihak pendakwaan memohon pertimbangan hukuman tersebut kerana ada mangsa yang terlibat dalam kes ini hidup diselubungi rasa takut,” ujarnya.
Zaimah merayu agar denda minimum diberikan kepada anak guamnya dengan alasan tertuduh yang masih bujang sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan tersebut pada masa akan datang.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut selain memerintahkan telefon bimbit milik tertuduh dilupuskan oleh pihak polis selepas tamat tempoh rayuan 14 hari selaras dengan Seksyen 407 Kanun Tatacara Jenayah.
Tertuduh membayar denda yang ditetapkan mahkamah.
Mengikut fakta kes, tertuduh dan kekasihnya yang berusia 27 tahun telah melakukan hubungan intim di sebuah rumah di sini kira-kira pukul 11.45 malam pada 10 April lalu.
Tertuduh telah merakam gambar dan video hubungan tersebut sebelum menyimpan di dalam telefon bimbit jenis iPhone 15 Pro Max miliknya.
Kekasih tertuduh kemudian berasa takut sekiranya gambar dan video tersebut disebarkan atau digunakan untuk kegunaan peribadi telah tampil membuat laporan polis. – KOSMO! ONLINE














