PETALING JAYA – Gerakan solidariti antarabangsa ke Gaza kini diperluaskan melalui laluan darat apabila Global Sumud Land Convoy yang memulakan perjalanan dari Libya pada kelmarin sedang bergerak menuju ke Rafah.
Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, konvoi itu bergerak seiring dengan misi laut Global Sumud Flotilla (GSF) sebagai simbol solidariti rakyat dunia terhadap Palestin.
Menurut beliau, SNCC mengesahkan sebanyak 52 kapal GSF telah berlepas dari Adrasan, Turkiye pada pukul 1 petang waktu Malaysia sebelum memasuki perairan antarabangsa kira-kira pukul 7.30 malam.
“Kesemua kapal kini berada dalam zon operasi berisiko tinggi ketika meneruskan pelayaran menuju ke Gaza.
“Dalam masa sama, Global Sumud Land Convoy yang bergerak melalui laluan darat kini sedang mara ke Rafah sebagai sebahagian gerakan solidariti antarabangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, konvoi darat itu melibatkan lebih 200 peserta daripada lebih 25 negara.
“Konvoi tersebut menggunakan lebih 30 kenderaan termasuk tujuh ambulans, lori logistik dan rumah bergerak yang membawa bekalan perubatan serta bantuan penting untuk rakyat Gaza.
“Gerakan ini membuktikan solidariti rakyat dunia terhadap Palestin terus diperkukuh walaupun berdepan pelbagai cabaran keselamatan dan sekatan,” katanya.
Tambah beliau, misi berkenaan bukan sahaja bertujuan menghantar bantuan kemanusiaan, malah membawa mesej sokongan global terhadap rakyat Palestin yang terus berdepan krisis kemanusiaan di Gaza. – KOSMO! ONLINE














