PETALING JAYA – Sebanyak 10 buah kapal membawa 60 penumpang mewakili sembilan negara berlepas dari Sicily, selatan Itali, semalam.
Dalam kenyataan bersama, Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG) memaklumkan, misi berkenaan bertujuan memecahkan sekatan haram Israel dengan menghantar bantuan kemanusiaan ke wilayah Palestin.
Antara yang menyertai pelayaran itu termasuk Ahli Parlimen Eropah serta wakil rakyat dari Belgium, Perancis, Ireland, Sepanyol dan Amerika Syarikat (AS).
Kapal terbabit dijadualkan menyertai pelayaran armada Global Sumud Flotilla (GSF) yang turut menuju ke Gaza sambil membawa bekalan bantuan.
Terdahulu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meminta siasatan segera ke atas dakwaan serangan dron terhadap armada GSF sehingga mendorong Itali dan Sepanyol menghantar kapal tentera laut untuk bantuan.
Sebelum ini, GSF dalam kenyataan dilaporkan berkata, salah sebuah kapal mereka yang membawa aktivis termasuk ahli alam sekitar dari Sweden, Greta Thunberg menyalahkan Israel atas lebih sedozen letupan kedengaran di luar Greece, pada Selasa lalu. – KOSMO! ONLINE