SEREMBAN – Penganjuran FAMA Fest 2025 yang menjelajah enam lokasi utama iaitu Sarawak, Johor, Perak, Selangor, Sabah dan terbaharu di Negeri Sembilan diyakini mampu melepasi sasaran RM7.7 juta nilai jualan.
Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Abdul Rashid Bahri berkata, jelajah lima lokasi sebelum ini berjaya menarik lebih 265,000 pengunjung serta penyertaan 383 usahawan dengan jumlah nilai jualan mencecah RM5.3 juta.
“Lima lokasi sebelum ini sudah mencapai sasaran, manakala di Negeri Sembilan pula yang berlangsung dari 25 hingga 28 September 2025 dijangka mencatat nilai jualan RM400,000 dengan penyertaan 64 usahawan daripada pelbagai segmen industri asas tani serta kehadiran lebih 20,000 pengunjung.
“Dengan penyertaan usahawan yang lebih ramai, saya yakin jumlah keseluruhan keenam lokasi jelajah mampu mencecah RM8 juta sekaligus melepasi sasaran RM7.7 juta,” katanya kepada pemberita.
Beliau ditemui pada FAMA Fest 2025 @ Negeri Sembilan yang dirasmikan Exco Kanan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias di Nilai, di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE