KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) melabuhkan tirai program Panggung Seni Tradisional 2025 (PST2025) dengan persembahan Teater Jikey Langkawi bertajuk Kembara Putera di Auditorium Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) di sini malam kelmarin.
Persembahan siri kelima itu menampilkan hasil karya Persatuan Penggiat Seni Kreatif Kedah (Perspektif) menerusi dua segmen selama 90 minit.
Segmen pertama memaparkan empat babak berunsur komedi dengan watak pelbagai kaum di Malaysia, berlatarkan suasana perdagangan sosio-ekonomi di Pelabuhan Langkawi suatu ketika dahulu.
Bagi segmen kedua pula ia mengetengahkan kisah rakyat klasik yang melibatkan dua kerajaan lama, Kalaha dan Inderapura, dengan naratif berkisar kehidupan di istana, pengembaraan, ancaman bahaya, wira dan antagonis berkuasa luar biasa serta perkahwinan diraja.
Seawal tirai dibuka, suasana dipenuhi alunan muzik pergendangan dan petikan alat muzik tradisional yang menghidupkan suasana zaman lampau.
Pengarah Pementasan Teater Jikey Langkawi, Saiful Azwan Abdul Aziz berkata, Jikey Langkawi yang berakar umbi dari Pulau Langkawi merupakan teater rakyat berusia lebih 400 tahun.
Katanya, sejak itu persembahan ini telah melalui banyak proses penyesuaian sejak era 1950-an hingga kini termasuk penambahan elemen lagu, lawak jenaka dan isu semasa agar lebih dekat dengan masyarakat.
“Penyesuaian tetap dilakukan tanpa mencacatkan struktur dan keaslian teater. Persembahan Jikey Langkawi juga sesuai dijadikan modul untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat.
“Asalkan tidak keterlaluan, isu-isu semasa boleh diselitkan agar penonton terutama golongan muda berasa tertarik dan seronok selain mudah memahami mesej disampaikan,” katanya selepas persembahan teater itu.
Ketika ini hanya tinggal dua tokoh Jikey Langkawi yang masing-masing berusia 100 tahun dan kemungkinan seni warisan budaya ini akan pupus jika pemuliharaan segera tidak dilakukan.
Beliau mengakui perlu ada kerjasama semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan untuk menjadi penggerak mengangkat Jikey Langkawi supaya diminati generasi muda.
“Persembahan teater masih lagi menarik kerana ia mempunyai keunikannya yang tersendiri. Kami bersyukur MOTAC dan JKKN terus memberi kami platform untuk membuat persembahan,” katanya.
Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan) JKKN, Rosnan Abdul Rahman berkata, PST2025 terus menjadi platform penting dalam mengangkat seni warisan negara, sejak diperkenalkan pada 2013.
Katanya, penganjuran tahunan ini kekal menerima sambutan menggalakkan daripada warga Kuala Lumpur dan pelancong.
Antara genre yang pernah dipentaskan di PST ini termasuk Opera Cina, Ghazal Johor, Temasya Tari Melayu dan terbaru Kembara Putera, kesenian warisan dari Langkawi yang mempunyai nilai seni budaya autentik yang sangat tinggi.
“PST turut menjadi ruang untuk memperkenalkan warisan budaya negara yang sebahagiannya telah diiktiraf Senarai Perwakilan Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
“Ini platform untuk penggiat seni dari setiap negeri, termasuk Sabah dan Sarawak, mengetengahkan kepelbagaian budaya yang menjadi identiti Malaysia dan menyemarakkan semangat kebersamaan rakyat,” ujarnya.
Penganjuran PST2025 kali ini melibatkan lima kumpulan seni tempatan bermula 23 Mei lalu.
Antara persembahan diadakan seperti Irama Ghazal Johor oleh Rangkaian Ghazal Johor, Irama Lingnan (Opera Kantonis Cina) oleh Persatuan Pat Woh Malaysia dan Temasya Tari Melayu: Lama Dalam Baharu (tarian Melayu) oleh Kumpulan Kesenian Universiti Malaya.
Terdapat juga persembahan Parampara (tarian klasik India) oleh Angika Fine Arts dan menutup tirai PST adalah Kembara Putera (Teater Jikey Langkawi) oleh Perspektif.