PETALING JAYA – Setiap pemberian kewarganegaraan, termasuk melibatkan pemain warisan, dilaksanakan secara teliti dan berpandukan sepenuhnya kepada Perlembagaan Persekutuan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, proses naturalisasi dibuat di bawah Perkara 19(1) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan syarat serta peraturan ketat sebelum kelulusan diberikan.
“Proses naturalisasi ini sangat teliti dan berlapis. Semua dokumen lengkap perlu disemak, temu bual dijalankan, biometrik diambil serta verifikasi menyeluruh dibuat.
“Syarat utama adalah keberadaan pemohon di Malaysia, bukan hanya sekadar memohon dari luar negara. Setiap keputusan dibuat mengikut undang-undang dan peraturan yang ditetapkan,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) hanya bertanggungjawab dalam urusan kewarganegaraan dan tidak terlibat dengan keputusan yang dibuat oleh badan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
“Soal FIFA mengambil keputusan itu, ia adalah urusan FIFA dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). KDN tidak menjaga bola, kita hanya menguruskan hal ehwal warganegara,” katanya.
Tambah beliau, KDN kekal komited memastikan urusan pemberian kewarganegaraan dijalankan secara sah, telus dan berlandaskan Perlembagaan.
Kosmo! sebelum ini melaporkan FAM dan tujuh pemain warisan negara dikenakan tindakan tegas oleh FIFA selepas melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
Tujuh pemain berkenaan adalah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Hasil semakan, Jawatankuasa Disiplin FIFA memutuskan FAM perlu membayar denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) manakala pemain diarahkan membayar denda CHF2,000 (sekitar RM10,000). – KOSMO! ONLINE