PARIS – Tentera Laut Perancis merampas hampir 10 tan kokain bernilai lebih AS$600 juta (RM2.5 bilion) daripada sebuah kapal nelayan di luar pantai Afrika Barat, lapor saluran berita CBS memetik kenyataan pihak berkuasa negara berkenaan semalam.
Rampasan oleh dua kapal tentera laut pada Isnin itu dilakukan selepas menerima maklumat daripada pihak berkuasa perisikan dadah, maritim dan polis Britain.
Operasi itu merupakan sebahagian daripada misi tentera laut Perancis, Corymbe yang dikerahkan di Teluk Guinea sejak 1990 bagi memastikan keselamatan di kawasan tersebut.
Ini kerana rantau itu menyaksikan sering berlakunya aktiviti lanun.
“Secara keseluruhan, sebanyak 9.6 tan kokain dengan nilai pasaran hampir AS$609 juta (RM2.6 bilion) dirampas daripada sebuah kapal (nelayan),” kata Jabatan Maritim Atlantik, sambil menambah, kapal tersebut tidak didaftarkan di mana-mana negara.
Pihak berkuasa turut mengeluarkan imej operasi berkenaan yang menunjukkan sebuah kapal tentera laut, helikopter tentera dan anggota-anggota keselamatan memunggah bungkusan dadah tersebut.
Menjelang akhir Ogos lalu, tentera laut Perancis telah pun merampas hampir enam tan kokain di luar pantai Afrika Barat. – AGENSI