fbpx
Pelayaran peserta GSF menuju ke Semenanjung Gaza untuk menghantar bantuan dijangka berdepan dengan peningkatan ancaman oleh Israel.

Peserta Sumud Flotilla berlayar perlahan, ancaman semakin meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pergerakan bot dan kapal perserta misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza terpaksa berlayar pada tahap kelajuan yang perlahan di perairan Wilayah Greece.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada pukul 4.08 pagi waktu tempatan, GSF memaklumkan aktiviti dron berskala sederhana dikesan berlaku malam tadi, dipercayai sebagai sebahagian daripada operasi pengawasan dan tekanan psikologi.

Menurut sumber kerajaan Kesatuan Eropah (EU) yang dipetik GSF, terdapat peningkatan ancaman daripada Israel sebaik sahaja konvoi flotila memasuki perairan antarabangsa hari ini.

Pada masa sama, GSF mendakwa Israel menggunakan taktik lama dengan ‘menipu dahulu, membunuh kemudian dan memutar belit pada akhirnya’.

Katanya, sepanjang minggu lalu, Israel didakwa mencipta alasan untuk melancarkan serangan terhadap flotila berkenaan dengan menuduh ia mempunyai kaitan dengan kumpulan Hamas.

“Misi kemanusiaan kami difitnah bagi menghalalkan peningkatan keganasan terhadap orang awam di Gaza,” kata GSF.

Jelasnya, selain perang psikologi, pihak Israel turut didakwa melepaskan peranti pembakar api ke arah kapal GSF, sekali gus membahayakan keselamatan anak kapal dan sukarelawan antarabangsa di atas flotila tersebut.

Sehubungan itu, GSF menggesa EU mengambil tindakan tegas berikutan ancaman berterusan terhadap kapal-kapal kemanusiaan yang berlayar di perairan wilayah dan antarabangsa.

Katanya, sebarang serangan terhadap kapal tersebut bukan sahaja dianggap sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa, malah merupakan tindakan kekerasan terhadap negara-negara anggota EU yang benderanya dikibarkan di kapal flotila berkenaan.

“Ancaman ini adalah lanjutan daripada kempen pemusnahan dan kebuluran yang sedang menimpa rakyat Palestin di Gaza. EU mesti bertindak melindungi warganya daripada pelanggaran undang-undang antarabangsa, serta menunaikan tanggungjawab berdepan sekatan haram dan pendudukan wilayah Palestin oleh Israel,” tegas GSF.

Misi kemanusiaan ini disertai lebih 500 sukarelawan GSF dari 45 negara termasuk 34 delegasi dari Malaysia menaiki 53 buah kapal bersama tiga kapal pemerhati menuju ke Semenanjung Gaza bagi menghantar bantuan makanan serta keperluan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN