fbpx
BANJIR melanda akibat Taufan Ragasa di kawasan komersial San Ma Lo, Macau semalam. - AFP

Super Ragasa hentam China, hampir 2 juta orang pindah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HONG KONG – Hampir dua juta orang di selatan China dipindahkan apabila taufan kuat menghentam kawasan pantai paling padat penduduk di dunia, selepas terlebih dahulu menyebabkan banjir dahsyat di Taiwan, lapor saluran berita CNN semalam.

Taufan Super Ragasa melumpuhkan pusat kewangan Hong Kong dan sebahagian besar selatan China semalam,selepas membadai  pulau terpencil di Filipina dan kawasan pergunungan Taiwan.

Kekuatannya bagaimanapun mula berkurang, manakala status taufan itu diturunkan kepada ribut tropika teruk hari ini tetapi tetap meninggalkan jejak kemusnahan.

Jejak kemusnahan seperti tanah runtuh, banjir kilat dan ombak besar melanda wilayah Guangdong di selatan China yang menempatkan bandar utama iaitu  Shenzhen dan Guangzhou.

Terdahulu, sekurang-kurangnya 17 orang terkorban di Taiwan dan pasukan penyelamat giat mencari 17 mangsa masih hilang setakat petang semalam selepas sebuah empangan semula jadi yang menahan tasik baru terbentuk,  runtuh hari sebelumnya.

Bencana itu menyebabkan  68 juta tan air mengalir keluar dan menenggelamkan bandar berdekatan, Guangfu.

Rakaman video kejadian  dari bandar  di daerah pergunungan Hualien, timur Taiwan itu  menunjukkan air deras air mengalir di jalan-jalan raya dengan menghanyutkan kenderaan, manakala  penduduk berlindung di tingkat atas dan bumbung  rumah apabila tingkat bawah mula ditenggelami air.

Sisa tanah runtuh pada Julai lalu  membentuk tasik yang menjadi ‘empangan semula jadi’ tersebut. Pihak berkuasa Taiwan berulang kali memberi amaran bahawa tasik semula jadi itu berisiko melimpah menjelang Oktober ini. 

Pada sidang media semalam, pegawai-pegawai berkata,  penilaian menunjukkan adalah tidak praktikal untuk mengorek, menyedut atau membuang halangan tasik itu menyebabkan mereka memilih untuk hanya memantau keadaan.

Sebelum Ragasa melanda, pihak berkuasa berkata, mereka telah mengeluarkan beberapa amaran dan nasihat berpindah kepada penduduk setempat.

Namun, ramalan untuk Oktober ini tidak mengambil kira hujan lebat  atau taufan kuat yang  boleh mempercepatkan proses itu, kata profesor di Universiti Nasional Chi Nan, Kuo-Lung Wang. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN