PETALING JAYA – Sisa lemak terkumpul dalam lurang (manhole), lantai dan dinding dapur kotor selain ada tanda kehadiran tikus.
Itu keadaan kotor melibatkan satu premis makanan dan beberapa gerai semasa pemeriksaan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Perisa 1, Taman Gembira di ibu negara.
DBKL menerusi hantaran Facebook memaklumkan, satu operasi pemeriksaan dijalankan di premis makanan tersebut dan hasilnya mendapati lurang di situ dipenuhi dengan sisa lemak.
“Selain itu, terdapat beberapa isu kebersihan serius yang boleh mengundang risiko kepada kesihatan orang awam.
“Antara tindakan yang diambil termasuklah penutupan premis serta pengeluaran kompaun,” kata DBKL.
Dalam masa sama, pemeriksaan DBKL juga mendapati terdapat beberapa gerai beroperasi tanpa lesen yang sah.
“Penyelenggaraan alat perangkap minyak tidak memuaskan, sisa minyak dialirkan terus ke longkang awam, keadaan lantai dan dinding dapur kotor, selain pengendali makanan tidak mematuhi aspek kebersihan diri seperti tidak memakai apron dan penutup kepala.
“Malah, terdapat juga tanda-tanda kehadiran tikus di kawasan berkenaan. DBKL memandang serius isu ini kerana kebersihan premis makanan adalah faktor penting dalam memelihara kesihatan awam,” menurut hantaran itu lagi.
Justeru, peniaga dan pengendali makanan diingatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan, memastikan penyelenggaraan perangkap minyak dilaksanakan dengan baik serta mengamalkan kebersihan diri dan persekitaran.
Pemeriksaan susulan akan terus dijalankan dari semasa ke semasa demi memastikan tahap kebersihan premis makanan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sentiasa terpelihara. – KOSMO! ONLINE