PUTRAJAYA – Golongan mahakaya terdiri daripada individu kenamaan bergelar Tan Sri, ahli politik dan ahli perniagaan dilaporkan antara mereka dikesan tidak memperbaharui cukai jalan bagi kenderaan mewah masing-masing.
Mendedahkan perkara itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pihaknya mendapati jumlah cukai jalan yang masih tertunggak membabitkan kumpulan itu kini mencecah RM35.7 juta.
“Ia membabitkan 345 buah Rolls-Royce dengan jumlah tunggakan RM6.4 juta; 372 buah Lamborghini (RM3.7 juta), 660 buah Bentley (RM7 juta), 675 buah Ferrari (RM4.7 juta) dan 4,308 buah Porsche (RM13.7 juta).
“Keseluruhannya, hanya lima jenis kenderaan ini sahaja sudah mencecah hampir RM35.7 juta cukai jalan yang tidak diperbaharui dan jumlah ini melibatkan kurang 10,000 kenderaan tetapi nilai tunggakan sangat besar,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Katanya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mempunyai semua maklumat pemilik, jenis kenderaan dan tempoh cukai jalan yang tamat dalam sistem mereka.
Jelasnya lagi, setakat ini Ops Luxury telah menyita lebih 400 kenderaan mewah dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini malah, ia telah disiarkan di media termasuk sitaan.
Katanya, cukai jalan bagi kenderaan mewah ada yang mencecah antara RM15,000 hingga RM30,000 setahun dan pemilik wajib memastikan ia diperbaharui bagi membolehkan kenderaan mereka layak berada di atas jalan raya. – KOSMO! ONLINE