KUALA LUMPUR – Kumpulan jenayah terancang yang ditumpaskan menerusi Op Jack Sparrow dipercayai bukan sahaja mempunyai sasaran tertentu namun turut menjadikan orang awam sebagai mangsa.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, kumpulan itu melakukan serangan bagi mendapatkan habuan melalui ugutan, keganasan serta kegiatan seperti along dan gangsterisme.
“Kita sedia maklum ini adalah kumpulan jenayah terancang. Jadi, kadangkala ada berlaku pertelingkahan di antara mereka. Kedua, mangsa-mangsa yang menjadi tempat untuk mereka mendapatkan habuan (duit) dan sebagainya.
“Saya percaya (sasaran) bukan sahaja antara kumpulan (lain) tetapi rakyat awam juga menjadi mangsa,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Khalid mendedahkan kumpulan tersebut turut dipercayai merekrut ahli baharu daripada golongan remaja dan belia.
“Kita percaya memang perkara ini (rekrut) berlaku, tetapi siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengumpul maklumat lebih terperinci,” ujarnya.
Katanya, polis mengenal pasti lebih 80 kes jenayah dilakukan ahli kumpulan terbabit, termasuk rompakan dan serangan menggunakan senjata.
Bagaimanapun, jelasnya, tiada rampasan senjata api dibuat setakat ini.
Ditanya mengenai nama kumpulan, beliau menjelaskan pihak polis hanya merujuk mereka sebagai ‘kumpulan jenayah terancang’.
“Kita tidak mengiktiraf mana-mana nama kumpulan. Tetapi masyarakat sedia maklum memang ada beberapa kumpulan wujud di kawasan tertentu,” jelasnya.
Beliau menegaskan polis akan terus menjalankan siasatan rapi bagi membanteras jenayah terancang ini dan mengekang penyebaran pengaruh mereka, khususnya kepada golongan belia.
Sebelum ini, polis menumpaskan dua kumpulan jenayah terancang dengan menahan seramai 17 individu menerusi beberapa siri serbuan di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Perak pada 11 September lalu. – KOSMO! ONLINE