KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyangkal dakwaan bahawa Malaysia dijadikan sebagai pusat operasi anggota Hamas.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, perkara itu mungkin telah disalah tafsir segelintir pihak berdasarkan keprihatinan rakyat Malaysia ke atas Palestin.
“Berdasarkan kedudukan kita sebagai sebuah negara Islam, perjuangan di Palestin sememangnya dekat di hati rakyat Malaysia.
“Atas sebab itu, kita sentiasa memberi sokongan berterusan kepada Palestin,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman di sini, hari ini.
Sebelum ini media melaporkan Bekas penganalisis kewangan keganasan di Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Jonathan Schanzer mendakwa Malaysia telah lama menjadi pusat operasi anggota Hamas.
Bagaimanapun, Mohd. Khalid berkata, agensi keselamatan tempatan tetap berwaspada agar semangat solidariti itu tidak dieksploitasi untuk tujuan yang menyalahi undang-undang.
“Alhamdulillah, saya ada kerjasama baik dengan semua agensi kerajaan, khususnya Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia.
“Kita sentiasa berhubung, berkongsi maklumat serta mengambil tindakan bersama dalam menangani isu berkaitan,” ujarnya.
Beliau berkata, kejayaan operasi rentas sempadan kebelakangan ini merupakan bukti kesiapsiagaan Malaysia dalam menjaga keselamatan negara.
“Negara jiran juga memberikan kerjasama yang baik serta berkesan, seperti yang semua maklum, kes tangkapan di Sadao membabitkan penyeludupan senjata api berjaya digagalkan, dengan tindakan undang-undang diambil pihak berkuasa Thailand.
“Kita berkongsi maklumat dengan Thailand untuk mengenal pasti rangkaian mereka dan akan terus bekerjasama dalam perkara sebegini,” katanya.
Tanbah Mohd. Khalid, pihak berkuasa tidak akan berkompromi dalam isu membabitkan ancaman keganasan, penyeludupan senjata mahupun rangkaian jenayah rentas sempadan.
“Keselamatan negara adalah terkawal, kita akan terus memperkukuhkan kerjasama dengan rakan serantau bagi memastikan tiada kumpulan yang menjadikan negara ini sebagai pangkalan operasi,” katanya. – KOSMO! ONLINE