PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir susulan jangkaan hujan lebat dan ribut petir membabitkan beberapa kawasan di Semenanjung, Sarawak dan Sabah hingga pukul 7 malam ini.
MetMalaysia dalam kenyataan berkata, kawasan yang terlibat di Semenanjung adalah seluruh Perlis, Pulau Pinang, Perak dan Kedah (Kubang Pasu, Padang Terap, Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu).
“Hujan lebat turut diramal berlaku di Kelantan (Jeli, Tanah Merah, Kuala Krai dan Gua Musang), Terengganu (Dungun dan Kemaman) serta Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Jerantut, Bentong, Temerloh, Maran, Kuantan, Bera dan Rompin),” lapor MetMalaysia.
“Selain itu, kawasan yang dijangka terjejas adalah Selangor (Sabak Bernam, Klang, Kuala Langat dan Sepang), seluruh Negeri Sembilan, Melaka dan Johor,” kata kenyataan itu hari ini.
Sementara itu di Sarawak, cuaca buruk dijangka berlaku di Sri Aman, Betong (Pusa, Betong dan Saratok), Sarikei (Sarikei dan Meradong), Mukah, Bintulu (Tatau), Miri (Miri dan Marudi) dan Limbang.
Bagi Sabah, amaran hujan lebat melibatkan kawasan Pantai Barat, Tawau dan Kudat (Kota Marudu).
MetMalaysia memaklumkan, amaran hujan lebat dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Jelasnya, amaran tersebut adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE













