fbpx
Linda enggan memaafkan mana-mana individu yang melemparkan kata-kata negatif sehingga mengaibkan keluarga berhubung persembahannya pada konsert Elite Live'25 baru-baru ini.

‘Aibkan keluarga, saya takkan maafkan kalian sampai bila-bila’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Penyanyi Linda Rafar enggan memaafkan mana-mana individu yang melemparkan kata-kata negatif sehingga mengaibkan keluarga berhubung persembahannya pada konsert Elite Live’25 di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) baru-baru ini.

Linda atau nama penuhnya Azlinda Abdul Rafar, 47, berkata, dia masih boleh bertoleransi dengan kecaman ramai mengenai pemakaiannya pada konsert Elite namun terluka apabila ada pihak mula mengaitkan perkara tersebut dengan keluarganya.

“Dengan rasa rendah hati saya terima semua kritikan positif tetapi tidak akan memaafkan mereka yang beri kata-kata celaan dan mengaibkan diri serta keluarga.

“Saya tak akan maafkan kalian sampai bila-bila selagi kalian semua tidak mintak maaf pada saya sendiri!

“Saya rasa kecaman mengenai isu pakaian masih lagi okey, mungkin ada segelintir yang tidak suka, itu hak mereka,” katanya kepada Kosmo! Online hari ini.

Tambah Linda, dia sudah memberikan persembahan terbaik pada konsert Elite yang berlangsung pada 20 September lalu.

“Sejak bergelar anak seni bermula pada usia tujuh tahun, dunia artis ini adalah bidang saya.

“Come back ini untuk peminat Elite, jadi saya perlu berikan yang terbaik sebagai penghibur.

“Saya hargai mereka yang beri nasihat dan rata-rata peminat Elite beri sokongan, alhamdulillah,” tuturnya.

Menurutnya, konsert Elite diadakan bagi mengubat kerinduan peminat yang sudah lama menanti konsert solo mereka.

“Konsert Elite ini hanya untuk peminat yang setia menantikan kemunculan saya selepas 25 tahun.

“Saya rasa lega dan alhamdulilah konsert ini sudah selesai. Boleh kembali kepada keluarga serta rutin normal,” katanya lagi.

Isteri kepada pelakon, Syed Aiman itu juga meminta maaf sekiranya persembahannya pada konsert tersebut tidak mencapai jangkaan yang diharapkan peminat.

“Kepada semua penyokong, saya sayang kalian semua. Minta maaf sekiranya persembahan saya tidak sehebat yang kalian inginkan.

“Sudah cuba sedaya upaya tetapi saya bukan insan yang sempurna.

“Saya yakin Allah SWT beri ujian dan amaran kepada umat yang Dia sayang. Segala yang buruk, semua daripada saya dan terbaik hanya daripada Allah,” jelasnya.

Terdahulu, nama Linda menjadi bualan hangat netizen dalam media sosial sejak kelmarin apabila ramai berpendapat penampilan dan persembahannya pada konsert Elite baru-baru ini tidak bersesuaian dengan imej sebagai wanita bertudung.

Netizen bahkan mendakwa Linda seharusnya peka dengan perkara tersebut apatah lagi dia antara selebriti yang rajin menghadiri usrah dan kelas agama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI