Cuti sekolah penggal kedua selama seminggu baru berakhir semalam. Orang ramai terutama ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang masih bersekolah tidak melepaskan peluang mengambil cuti untuk meluangkan masa bersama keluarga.
Ada yang membawa anak-anak makan angin, balik kampung, malah ada yang hanya bersantai di rumah. Jika keluar sekalipun hanya pergi ke pusat beli-belah atau kafe hunting di kawasan terdekat.
Negara jiran, Thailand terutama Hatyai diserbu rakyat Malaysia setiap kali musim cuti sekolah. Itulah cara kita meraikan cuti dengan berehat sebentar daripada huru-hara pejabat. Sebagai rakyat Malaysia kita harus banyak bersyukur.
Apa tidaknya, di Malaysia terdapat banyak cuti, sekejap-sekejap cuti. Boleh dikatakan hampir setiap bulan ada cuti umum sama ada di peringkat negeri atau kebangsaan.
Selain cuti sekolah, Malaysia mempunyai cuti perayaan kerana rakyatnya yang berbilang bangsa dan agama. Itu belum dikira cuti peristiwa bersempena detik-detik penting.
Walaupun terdapat banyak cuti umum, jalan raya dan lebuh raya utama tetap padat dengan kenderaan.
Di Semenanjung Malaysia, pemandangan sesak kini tidak lagi berlaku pada musim perayaan utama seperti Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baru Cina.
Jika 10 tahun dulu, kita hanya lihat suasana kenderaan ‘melekat’ atas jalan raya pada musim raya, tetapi sekarang cuti tiga hari hujung minggu, sudah buat kita sesak dada bila berada di atas jalan raya.
Perjalanan tidak sampai 20 kilometer pun memakan masa lebih satu jam. Tiada beza hari bekerja dan hari cuti kita tetap kena hadap kesesakan lalu lintas.
Walaupun setiap minggu cuti umum, orang ramai tetap berjalan. Kadang-kadang kita terfikir ‘Banyak sangatkah duit rakyat Malaysia sebab makan angin setiap minggu’ walaupun bukan semua yang berada atas jalan raya pergi makan angin kerana ada yang melakukan aktiviti lain termasuk undangan majlis perkahwinan.
Malah walaupun sedang bercuti minggu lepas, sudah ada dalam kalangan kita yang sudah merancang untuk bercuti sempena Deepavali bulan depan.
Laporan muka depan Kosmo! Ahad kelmarin mengenai pengakuan orang ramai menggunakan wang Akaun 3 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja untuk makan angin mendapat perhatian.
Ada orang yang tidak bersetuju dengan tindakan itu, tidak kurang pula ada yang menyokong dengan alasan ‘duit kita’ bukannya meminjam walaupun ada pihak yang mengingatkan tentang kepentingan simpanan hari tua.
Bagi penulis, tepuk dada tanya selera. Fikir masak-masak sebelum membuat sesuatu keputusan. Bertindak jangan sampai memudaratkan diri dan keluarga.
Setiap keluarga perlu bijak merancang perbelanjaan mengikut kemampuan kewangan masing-masing.
Selain bajet, dalam keghairahan bercuti jangan lupa semak laporan terkini cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi memandangkan negara akan memasuki musim tengkujuh hujung tahun ini.
Ambil tahu kawasan berisiko dinaiki air termasuk banjir kilat, kepala air dan cerun runtuh. Elak melakukan aktiviti di laut dan pantai bagi mengelakkan risiko lemas.















