fbpx
Sulizme pada sidang media berkenaan penipuan dalam talian di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh SADDAM YUSOFF/ KOSMO!

Sindiket penipuan dalam talian di ibu negara tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan dua sindiket penipuan dalam talian menerusi dua serbuan berasingan di ibu negara minggu lalu dengan menahan seramai 24 individu termasuk warga asing.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, serbuan pertama dilakukan pada 18 September lalu kira-kira pukul 4 petang di sebuah kondominium mewah di Lorong Binjai, di sini.

“Dalam serbuan itu, pasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi serta Cawangan Integriti dan Pematuhan Standard menahan 13 warga asing dan seorang warga tempatan yang disyaki terbabit dalam penipuan atas talian menyasarkan mangsa dari China.

“Premis terbabit digunakan sebagai pusat operasi dan kediaman suspek yang berusia lingkungan18 hingga 45 tahun yang masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial,” katanya pada sidang akhbar di IPD Dang Wangi, di sini hari ini.

Menurutnya, polis merampas lima komputer riba, 23 telefon bimbit, sebuah modem dan satu kad akses.

Katanya, semua suspek direman sehingga 25 September ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan.

Sulizmie berkata, serbuan kedua dijalankan sehari kemudian iaitu 19 September kira-kira pukul 5 petang di lima unit kediaman di The Troika KLCC.

“Hasil serbuan, polis menahan 10 warga asing termasuk seorang wanita berusia lingkungan 25 hingga 30 tahun kerana dipercayai terbabit dalam penipuan pelaburan mata wang kripto tidak wujud yang menyasarkan mangsa dari Jepun.

“Rampasan melibatkan tiga komputer riba, dua monitor, 16 telefon bimbit, dua set modem dan tiga kad akses. Kes ini juga disiasat di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Beliau berkata, siasatan mendapati suspek turut menggunakan kondominium mewah sebagai pusat operasi sindiket selain memasuki negara ini dengan pas lawatan sosial.

Katanya, walaupun kegiatan sindiket berkenaan menyasarkan mangsa luar negara, pihak polis tetap memohon kerjasama penduduk Kuala Lumpur untuk menyalurkan maklumat sekiranya terdapat kemasukan warga asing dalam jumlah mencurigakan di kediaman mewah.

“Maklumat orang awam amat penting bagi membantu polis mengekang aktiviti penipuan rentas sempadan ini,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI