KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki etnik Rohingya direman selama tiga hari sehingga lusa bagi membantu siasatan memandu melulu sehingga menyebabkan kemalangan mengorbankan seorang penunggang motosikal Yahama RXZ pada Hari Raya Aidiladha pertama baru-baru ini.
Perintah reman itu dibenarkan Majistret Noor Mazrinie Mahmood di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Marang, Superintendan Mohd. Sofian Redzuan berkata, suspek berusia 20 tahun yang memandu kereta Proton Saga dikatakan merempuh motosikal jenis Yamaha RXZ dinaiki mangsa berusia 27 tahun di Kilometer 12.5, Jalan Kuala Terengganu–Kuantan berhampiran Rusila, Marang pada pukul 6 petang, 27 Mei lalu.
“Mangsa yang cedera parah pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan telah dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk menerima rawatan dan kemudian disahkan meninggal dunia di unit rawatan rapi hospital tersebut semalam,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Mohd. Sofian berkata, sehubungan itu, kes nahas yang sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 ditukar kepada Seksyen 41(1) akta sama.
Beliau berkata, kereta Proton Saga yang dipandu lelaki Rohingya dalam kemalangan tersebut juga telah disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE














