NEW DELHI – Sekurang-kurangnya 21 orang terbunuh dalam kebakaran sebuah hotel di New Delhi hari ini, kata polis.
Menurutnya, kebakaran yang berlaku adalah antara paling buruk di ibu kota India itu dalam tempoh beberapa tahun.
Kebakaran bermula waktu pagi di Flourish Stay, sebuah hotel penginapan dan sarapan di kejiranan sesak di selatan New Delhi, kata Polis Delhi dalam satu kenyataan.
“Dengan rasa sedih yang mendalam, 21 orang disahkan meninggal dunia dalam tragedi ini,” katanya.
Operasi menyelamat dan mencari masih diteruskan, dengan lebih 40 orang dibawa ke hospital berdekatan untuk rawatan.
Beberapa mangsa yang terkorban adalah pelawat dari negara-negara Afrika yang datang ke bandar itu untuk mendapatkan rawatan perubatan, lapor akhbar Indian Express dan media tempatan lain.
Kebakaran akhirnya dapat dikawal dengan bantuan lapan jentera bomba, kata polis.
“Semua agensi berkaitan kekal di tempat kejadian untuk memastikan segala bantuan yang mungkin diberikan kepada mereka yang terjejas,” tambah pasukan itu.
Perdana Menteri Narendra Modi menyifatkan insiden itu sebagai ‘tragis’.
“Takziah saya kepada mereka yang telah kehilangan orang tersayang,” kata pejabatnya dalam satu kenyataan di laman X.
Punca kebakaran itu tidak dapat dipastikan.
Namun, litar pintas disebabkan oleh pendawaian yang tidak diselenggara dengan baik, kekal sebagai punca utama insiden kebakaran di India.
Pada Mac lalu, kebakaran sebuah hospital kerajaan di timur India membunuh sekurang-kurangnya 10 pesakit kritikal. – AFP














