KUALA LUMPUR – Seorang bekas pengawal kelab malam (bonzer) dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas didapati bersalah memukul seorang lelaki hingga buta mata kanan di sebuah kelab malam dalam kejadian 10 tahun lalu.
Hakim Mazuliana Abdul Rashid menjatuhkan hukuman itu terhadap Jamsari Idris, 53, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah menyebabkan cedera parah ke atas Muhammad Ramdhan Aidil Norsham, 28, di sebuah kelab malam di Dang Wangi di sini pukul 3.30 pagi, 6 November 2016.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.
Terdahulu, Hakim Mazulina ketika menyampaikan keputusan berkata mahkamah menolak hujahan pembelaan mengenai kegagalan menamakan tertuduh dalam laporan polis kerana fakta bahawa mangsa mengecam tertuduh yang menumbuknya adalah tidak meragukan.
Menurut hakim itu, tertuduh dalam keterangan membela diri menyatakan beliau telah menenangkan mangsa, namun mahkamah mendapati keterangan tertuduh tidak munasabah.
Dalam prosiding hari ini, sebelum hukuman dijatuhkan mahkamah turut mendengar dan mempertimbangkan kenyataan impak mangsa (victim impact statement), yang memperincikan kesukaran yang dihadapi Muhammad Ramdhan selepas kehilangan penglihatan.
Menurut Muhammad Ramdhan sebelum kejadian itu, penglihatannya jelas dan beliau boleh memegang gelas tanpa menjatuhkannya, menunggang motosikal dan memandu kereta seperti orang lain.
“Namun, selepas kejadian itu, kehidupan saya terjejas. Saya pernah terlibat dalam kemalangan apabila motosikal yang saya tunggang terlanggar lubang dan menyebabkan tiga jari kaki saya patah,” kata Muhammad Ramdhan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ravindejit Kaur manakala Jamsari diwakili peguam Shah Rizal Abdul Manan. – KOSMO! ONLINE














