fbpx
Antara pengalaman yang dicerita pengguna media sosial ketika terserempak dengan lelaki warga asing terbabit di sekitar Lembah Klang.

Modal tampal plaster besar, buat muka sedih untuk ‘pancing’ duit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Taktik meraih simpati dengan menunjukkan plaster (pembalut luka) besar pada bahagian perut dan membawa nota tulisan tangan dipercayai digunakan seorang lelaki warga asing untuk meminta wang daripada orang ramai di sekitar ibu negara.

Perkara itu dikongsikan seorang pengguna media sosial dikenali sebagai Sani yang mendakwa didatangi seorang lelaki warga Pakistan ketika berada di kawasan parkir motosikal sebuah hospital di ibu negara, kelmarin.

Katanya, kejadian berlaku ketika dia mahu bergegas naik ke wad untuk melihat anaknya yang tidak sihat.

“Pagi semalam (kelmarin) saya parkir motor (motosikal) di kawasan parkir hospital. Masa itu fikiran memang nak cepat naik tengok anak yang tak sihat di wad.

“Hati memang tak tenang, kepala pun penuh dengan macam-macam fikir,” katanya menerusi satu hantaran di TikTok semalam.

Menurut Sani, sebaik sahaja dia mematikan enjin motosikal, lelaki lingkungan usia 50-an yang memakai baju putih lusuh, seluar hitam selain kelihatan rambutnya tidak terurus itu datang menghampiri sambil menghulurkan sekeping nota kecil.

“Dalam nota itu ada beberapa nama ubat. Saya sempat nampak paracetamol dan beberapa jenis ubat lain. Ada dalam enam hingga tujuh jenis semuanya dan setiap ubat ditulis sekali harga. Di bawah sekali tertulis jumlah keseluruhan RM194.50,” katanya.

Tambahnya, nota berkenaan bukanlah dokumen rasmi hospital atau preskripsi doktor, sebaliknya hanya tulisan tangan biasa.

Kata Sani, lelaki terbabit kemudian membuka sedikit bahagian tengah bajunya sebelum menunjukkan tampalan pembalut luka besar pada bahagian bawah tulang rusuk beserta kesan ubat kuning.

“Katanya baru lepas cuci luka. Saya keluarkan RM50 dan hulurkan pada dia. Tetapi yang mengejutkan, dia tak mahu terima. Dia ulang berkali-kali sambil tunjuk nota tadi (papar jumlah RM194.50). Akhirnya saya terus simpan semula duit RM50 tadi dalam dompet.

LTiba-tiba dia mula merayu dan menangis dan kata ‘Tak apa…RM50 pun okey’. Tetapi saya jawab ‘No (tidak). Tadi saya dah bagi, awak tak nak’. Dalam beberapa saat, muka sedih dan tangisan tadi hilang. Dia terus berjalan macam biasa. Saya mula terfikir, adakah ini benar-benar orang susah atau ini cuma (modus operandi) untuk meraih simpati?,” ujarnya.

Perkongsian tersebut menerima pelbagai reaksi orang ramai yang mendakwa pernah bertemu individu sama di beberapa lokasi berbeza sekitar Lembah Klang.

Seorang pengguna dikenali sebagai @malarvilichandra mendakwa pernah terserempak lelaki sama di Taman Megah berhampiran sebuah klinik mata.

“Saya pun pernah kena di Taman Megah depan eye clinic (klinik mata) dan saya masih ingat orang yang sama. Sama macam ini kata tak ada duit untuk beli ubat,” dakwanya.

Seorang lagi pengguna @shan nathan mendakwa individu tersebut sering dilihat di beberapa lokasi lain termasuk di Brickfields, Bangsar, Cheras dan Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN