PETALING JAYA – Seorang penulis puisi yang menawarkan perkhidmatan menaip puisi menggunakan mesin taip klasik di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 berdepan detik cemas apabila peralatan miliknya itu terbakar ketika acara itu sedang berlangsung.
Pengguna Threads, Balqis Shariz memaklumkan kejadian tersebut berlaku di reruainya di Aras 4 Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (PWTC), Kuala Lumpur, yang menjadi lokasi dia menghasilkan puisi khas untuk pengunjung.
Sebelum kejadian, Balqis sempat meraih perhatian ramai apabila berkongsi rasa kecewa kerana tiada pelanggan singgah ke reruainya.
“Yang datang PBAKL harini, singgah la booth saya kat 710 ni, dah sejam saya tenung mesin taip, mesin taip tenung saya,” katanya.
Balqis turut menjelaskan dia merupakan penulis puisi dan menawarkan perkhidmatan menaip puisi mengikut permintaan pelanggan dengan bayaran RM3 bagi setiap karya.
Namun, suasana di reruai itu bertukar cemas apabila mesin taip berkenaan terbakar sehingga tidak lagi boleh digunakan.
“Insiden terbakar dan api sangat besar. Buat masa ini mesin taip itu terpaksa berehat dan saya tengah nak ambil yang lain untuk PBAKL yang berbaki lima hari ini,” katanya.
Mengulas punca kejadian, Balqis percaya kebakaran itu berpunca daripada penggunaan cecair pembersih yang disembur berhampiran mesin taip tersebut.
“Dalam tiga minit selepas saya sembur dekat bahagian jarak antara kekunci, lepas tu dalam 40 sentimeter ada lilin untuk bakar cop lilin.
“Mungkin api itu sambar gas-gas pembersih dan perlahan-lahan sampai ke mesin taip,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














