IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak merampas barangan seperti produk tiruan dan makanan menggunakan logo halal palsu bernilai RM3,225,186.49 setakat 31 Ogos lalu menerusi Ops Tiris.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Perak, Mohamad Kamarol Mat Nor berkata, nilai denda yang direkodkan bagi tempoh sama adalah RM434,000, manakala sepanjang tahun lalu pula sebanyak RM850,883.
“Nilai kompaun pada 2024 berjumlah RM358,200, manakala tahun ini (setakat 31 Ogos) sebanyak RM1,332,750. Berlaku peningkatan kompaun sebanyak 272 peratus, tiga kali ganda berbanding 2024.
“Tahun ini bermula 1 Januari sehingga 31 Ogos, kita memeriksa 84,079 premis dan mengambil tindakan penguatkuasaan yang lebih agresif,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Pelupusan Ekshibit Perdana di Stor Ekshibit KPDN Perak di Chemor di sini.
Beliau berkata, sebanyak 941 kes diambil tindakan atas pelbagai kesalahan antaranya rampasan barang kawalan diesel dan gas petroluem cecair (LPG) di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Sementara itu, Mohamad Kamarol berkata, hari ini pihaknya melupuskan ekshibit bernilai RM1,256,483.79 di stor berkenaan.
“Ia melibatkan barangan seperti biskut yang menggunakan halal palsu, sabun tiruan, telefon bimbit dan aksesori tiruan. Selain itu terdapat pam minyak, hos, tangki intermediate bulk container (IBC) dan kenderaan.
“Kesemua barangan ini merupakan rampasan kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Cap Dagang 2019,” katanya. – KOSMO! ONLINE