KUALA LUMPUR – Taktik sindiket berselindung di sebalik perniagaan makanan sejuk beku bagi menjalankan aktiviti penyeludupan dan mencampurkan produk halal dan tidak halal terbongkar selepas diserbu dalam Op Taring Chiller di Kajang baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, operasi itu dijalankan Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas bersama Jabatan Veterinar Kuala Lumpur, Jabatan Agama Islam Selangor dan Majlis Perbandaran Kajang.
Katanya, serbuan pada pukul 8 malam, Khamis hingga 2 petang, Jumaat lalu itu melibatkan premis yang disyaki menyimpan, menjual dan mengedar makanan sejuk beku yang menyalahi undang-undang.
“Kita menahan seorang lelaki tempatan dan empat lelaki warga Myanmar berusia 21 hingga 43 tahun dipercayai pekerja premis tersebut.
“Turut dirampas produk sejuk beku bernilai RM12.4 juta melibatkan 4,840 karton karkas khinzir, 410 karton kepak ayam import dan 115 karton itik,” katanya pada sidang akhbar Op Taring Chiller di sini hari ini.
Beliau berkata, jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan 167,143.72 kilogram.
Siasatan mendapati premis itu beroperasi sejak empat tahun lalu dan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia sehingga 2031 bagi menjalankan aktiviti stor sejuk dan logistik.
“Bagaimanapun, premis itu didapati tidak mempunyai lesen menjalankan aktiviti penyimpanan atau pemprosesan makanan sejuk beku,” katanya.
Mengikut modus operandi, sindiket tersebut berselindung di sebalik perniagaan makanan sejuk beku dengan menjalankan aktiviti penyeludupan produk import tidak diiktiraf selain mencampurkan produk halal dan tidak halal.
Polis percaya kegiatan tersebut didalangi sindiket yang mempunyai rangkaian tertentu dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan dalang dan pemodal.
Dalam operasi sama, pihak berkuasa turut mengesan pelbagai kesalahan lain termasuk menggaji pekerja asing tanpa permit sah, kesalahan berkaitan penandaan halal dan berniaga tanpa lesen.
Mohd. Yusri berkata, sejak 1 Januari hingga Jumaat lalu, pihaknya merekodkan lapan kes di bawah Op Taring Chiller membabitkan 52 tangkapan dan rampasan serta sitaan bernilai RM15.1 juta.
“Bagi keseluruhannya, sebanyak 88 kes direkodkan bagi tempoh sama melibatkan 153 tangkapan dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM157.39 juta.
“Pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan dan penyelewengan barangan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














