PETALING JAYA – Di sebalik kejayaan lahirnya ramai jutawan dalam industri pembangunan produk buatan tempatan dengan jenama yang komprehensif dan diyakini ramai, faktor penentu utamanya adalah daripada kilang pengeluaran yang cukup kemudahan, inovasi serta inisiatif dalam kajian dan pembangunan (R&D) serta pensijilan.
Bersandarkan faktor tersebut, Masha Group telah menjadi pilihan utama banyak syarikat tempatan termasuk selebriti yang terlibat dalam bidang perniagaan kerana ia memiliki pengalaman luas dalam bidang tersebut.
Diasaskan lebih sedekad lalu, Kumpulan itu menjadi antara syarikat OEM paling dipercayai di Malaysia dengan rekod mengeluarkan lebih 500 jenama berjaya dibangunkan merangkumi produk penjagaan kulit, suplemen kesihatan, kosmetik dan solekan, penjagaan badan serta penjagaan rambut.
Pengasasnya, Enica Foong berkata, kejayaan dicapai hari ini bukan datang dalam tempoh singkat, sebaliknya dibina bermula daripada bawah dengan visi mahu membantu lebih ramai individu membina empayar perniagaan sendiri.
Menurutnya, Masha Group bukan sekadar sebuah kilang pengeluar peralatan asal (OEM) biasa, tetapi sebuah ekosistem lengkap yang membantu usahawan daripada peringkat idea sehingga produk berjaya dipasarkan ke peringkat tempatan dan antarabangsa.

“Ramai orang ada idea produk yang bagus, tetapi tidak tahu bagaimana mahu bermula terutama dari segi R&D, pengilangan, pensijilan dan juga dalam aspek pemasaran.
“Oleh itu, Masha Group dapat membantu usahawan fokus kepada penjenamaan dan jualan, manakala kami menguruskan segala aspek teknikal sehingga produk benar-benar bersedia untuk dipasarkan,” katanya dalam temubual di sini baru-baru ini.
Foong menerangkan, antara kekuatan utama kumpulan adalah pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang berpengalaman dalam menghasilkan formulasi eksklusif mengikut identiti serta visi setiap jenama.
Beliau menegaskan, Kumpulannya tidak mengamalkan pendekatan formulasi copy-paste seperti kebanyakan kilang OEM biasa, sebaliknya setiap produk akan dikaji secara teliti berdasarkan sasaran pengguna, fungsi produk dan pengalaman yang dibawa oleh sesebuah jenama.
Katanya, setiap jenama mempunyai identiti tersendiri dan memerlukan pendekatan formulasi yang berbeza bagi memastikan produk yang dihasilkan benar-benar berkualiti serta mampu memberi impak jangka panjang kepada pengguna.
“Bagi kami, produk yang berjaya bukan sekadar tular atau ‘sold out’ sekali sahaja, tetapi produk yang pengguna mahu beli semula kerana benar-benar merasai manfaat dan kualitinya.
“Kami percaya OEM bukan sekadar menghasilkan produk, tetapi membina kepercayaan pengguna melalui formulasi yang dibangunkan dengan teliti dan penuh tanggungjawab,” katanya.
Jelas Foong, semua bahan mentah yang digunakan diperoleh daripada pembekal berkualiti tinggi bagi memastikan setiap produk memenuhi standard keselamatan, keberkesanan dan inovasi semasa.
Terang beliau, selain memastikan penggunaan bahan mentah berkualiti tinggi, setiap produk juga melalui proses penilaian dari sudut pengalaman pengguna termasuk tekstur, keselesaan penggunaan, bau, penyerapan dan keberkesanan bagi memastikan produk bukan sahaja berkualiti di atas kertas, tetapi benar-benar memberi pengalaman terbaik kepada pengguna akhir.
Pendekatan ini menjadikan Masha Group antara kilang OEM terbaik di Malaysia yang bukan sahaja fokus kepada pengeluaran produk, tetapi turut menitikberatkan aspek kualiti, keunikan formulasi dan kepuasan pengguna jangka panjang.
“Masha Group sangat menitikberatkan aspek kualiti. Setiap produk akan melalui pelbagai ujian termasuk ujian kestabilan dan biological dan ramalan tempoh simpan bagi memastikan produk selamat serta berkualiti tinggi sebelum berada di pasaran.
“Kami juga menyediakan MOQ serendah 500 unit bagi memberi peluang kepada usahawan baharu memulakan langkah dalam industri tanpa perlu mengeluarkan modal terlalu besar,” katanya.
Selain itu, Masha Group turut dikenali sebagai OEM yang memiliki sijil halal dan mengikut piawaian antarabangsa termasuk pensijilan amalan pengilangan terbaik (GMP), persijilan Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP) MESTI bagi memastikan setiap produk dihasilkan memenuhi piawaian industri serta keselamatan pengguna.

Dalam masa sama, Foong memberitahu, pihaknya turut menggunakan data pasaran dan analisis trend pengguna termasuk melalui platform digital seperti TikTok bagi memahami perubahan tingkah laku pengguna serta membantu jenama menghasilkan produk yang relevan untuk pasaran semasa.
“Dunia bisnes hari ini bergerak sangat pantas. Kami menggunakan data semasa dan trend pengguna bagi membantu usahawan menghasilkan produk yang tepat mengikut kehendak pasaran.
“Pendekatan ini adalah antara faktor mengapa banyak jenama di bawah Masha Group berjaya mencipta jualan luar biasa dalam tempoh singkat selain mempunyai potensi jualan berulang yang lebih tinggi,” katanya.
Foong menerangkan, bukan sahaja membantu dari segi pengeluaran produk, Masha Group juga menyediakan sokongan pembungkusan dan penjenamaan bagi meningkatkan nilai sesebuah produk.
Tambah beliau, setiap pembungkusan direka mengikut identiti jenama selain memastikan pematuhan terhadap keperluan pasaran tempatan dan antarabangsa.
“Masha Group juga membantu usahawan dalam aspek pemasaran supaya mereka dapat memasuki pasaran dengan lebih yakin dan tersusun.
“Kami mahu setiap jenama yang lahir bersama Masha Group mampu berkembang menjadi jenama besar dan memberi impak kepada industri,” katanya.
Selain itu, Foong memberitahu, Masha Group percaya produk yang baik bukan sekadar nampak menarik di pasaran, tetapi produk yang benar-benar memberi nilai, pengalaman dan kepuasan kepada pengguna yang menggunakannya setiap hari.
Tambah beliau, kelebihan Masha Group sebagai pengilang terus tanpa orang tengah atau broker, membolehkan pelanggan menikmati harga kilang yang lebih kompetitif serta komunikasi lebih telus dan pantas selain memastikan kualiti pengeluaran sentiasa berada pada tahap terbaik. -KOSMO! ONLINE














