Lambakan produk kecantikan di pasaran ketika ini semakin sukar dibendung dengan pelbagai jenama baharu muncul hampir setiap hari.
Situasi ini bukan sahaja berlaku di kedai fizikal, malah lebih ketara di platform dalam talian dengan menawarkan pelbagai produk menerusi janji dan testimoni seperti putih dalam tiga hari, hilang jerawat seminggu atau ‘glowing’ serta-merta bagi menarik perhatian pengguna.
Perkembangan ini menyebabkan pengguna semakin sukar membezakan antara produk yang benar-benar berkualiti atau sekadar menumpang populariti mahupun ikutan trend semasa kerana tidak semua mempunyai pengetahuan mencukupi untuk menilai keselamatan sesuatu produk kecantikan.
Ikuti wawancara wartawan Kosmo! Ahad, Nur Alwani Zafirah Khairul bersama Pensyarah Kanan di Bahagian Kimia, Pusat Asasi Sains, Universiti Malaya, Dr. Syazreen Nadia Sulaiman bagi mengupas isu keselamatan dan kandungan dalam produk kecantikan serta rahsia disebalik bahan semula jadi.
KOSMO! AHAD: Benarkah produk yang menggunakan bahan semula jadi lebih selamat?
DR. SYAZREEN NADIA: Tidak semestinya. Sering berlaku salah faham dalam kalangan pengguna apabila label ‘natural’ dianggap terus memberi jaminan keselamatan.
Sesebuah produk mungkin ada 20 bahan, tetapi hanya dua atau tiga sahaja bahan semula jadi. Walaupun pengeluar boleh mendakwa menggunakan bahan natural, itu tidak bermaksud keseluruhan produk tersebut bebas daripada bahan kimia atau semestinya sesuai untuk semua jenis kulit.
Perlu difahami bahawa setiap bahan, sama ada semula jadi atau sintetik, mempunyai fungsi tertentu dalam formulasi.
Ada bahan semula jadi yang boleh menyebabkan iritasi kepada kulit sensitif dan ada bahan sintetik yang telah diuji keselamatannya secara meluas.
Bagaimana pengguna boleh mengenal pasti kandungan sebenar produk?
Pengguna boleh melihat senarai bahan pada label produk. Secara amnya, bahan dalam produk kosmetik disenaraikan mengikut turutan kepekatan iaitu bahan yang digunakan dalam jumlah lebih tinggi biasanya berada di bahagian atas senarai.
Jika ekstrak bunga atau bahan semula jadi berada di bahagian bawah senarai kandungan, ini boleh menunjukkan kandungannya digunakan dalam kuantiti yang lebih kecil berbanding bahan lain dalam formulasi tersebut.
Pengguna juga perlu belajar mengenal nama-nama asas bahan supaya tidak mudah terpengaruh dengan promosi.
Kita sendiri boleh menilai sama ada sesuatu produk benar-benar berasaskan bahan utama seperti dijanjikan atau sekadar strategi penjenamaan.
Ada pengguna suka bertukar-tukar produk kerana promosi murah, adakah itu berisiko?
Ya, sangat berisiko. Kulit manusia bukan organ yang boleh berubah serta-merta kerana ia memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan sesuatu produk baharu.
Kita tak boleh pakai produk seminggu atau dua minggu sahaja, kemudian terus tukar.
Secara saintifik, kulit mempunyai kitaran pembaharuan dalam tempoh 28 hari dan untuk menilai keberkesanan atau kesesuaian sesuatu produk, pengguna seharusnya menggunakannya secara konsisten sekurang-kurangnya dua kitaran, iaitu kira-kira 56 hari.
Dalam tempoh ini, barulah kita boleh melihat sama ada produk tersebut benar-benar memberi kesan positif atau sebaliknya.
Bagaimana pula jika berlaku ‘breakout’ atau kulit bertambah teruk?
Perlu dibezakan antara reaksi biasa dan tanda bahaya. Jika pengguna hanya belum nampak perubahan positif seperti kulit lebih glowing (bersinar) selepas dua minggu, itu masih dianggap normal kerana kulit memerlukan masa.
Tetapi kalau kulit mula merah teruk, pedih, terlalu kering, jerawat berdarah atau kulit menipis, itu tanda bahaya dan perlu dihentikan penggunaan segera termasuklah berjumpa dengan pakar dermatologi.
Kadangkala masalah juga berlaku kerana pengguna menggunakan bahan aktif secara berlebihan seperti vitamin C atau retinol.
Walaupun bahan ini berkesan, ia perlu digunakan mengikut arahan. Contohnya jika produk menyatakan penggunaan dua kali seminggu, tetapi digunakan setiap hari kerana mahu kesan cepat, ia sebenarnya boleh merosakkan kulit.
Ramai bercakap tentang produk ‘timbang kilo’, apa sebenarnya?
Produk ‘timbang kilo’ ialah istilah yang biasa digunakan untuk merujuk kepada produk kosmetik atau penjagaan diri yang dihasilkan secara pukal oleh kilang OEM.
Ia kemudian dibeli mengikut berat atau kuantiti oleh pemilik jenama untuk dijual semula di bawah jenama sendiri.
Biasanya, formulasi asas produk seperti serum, sabun atau krim sudah tersedia di kilang.
Pemilik jenama hanya memilih formulasi tersebut, kemudian membuat penyesuaian tertentu seperti pembungkusan, wangian, warna atau penjenamaan sebelum dipasarkan.
Istilah ‘timbang kilo’ digunakan kerana produk atau formulasi ini sering dijual secara pukal mengikut kilogram atau jumlah tertentu. Namun, istilah ini lebih bersifat bahasa pasaran dan bukan istilah teknikal rasmi dalam industri kosmetik.
Maksudnya tiga jenama berbeza boleh jadi guna formulasi sama?
Ya, boleh berlaku. Contohnya, sesebuah kilang boleh menghasilkan serum, pencuci muka atau krim secara pukal, kemudian jenama A, B dan C membeli formulasi tersebut dan menjualnya menggunakan nama serta pembungkusan jenama masing-masing.
Sebab itu, ada produk daripada jenama berbeza yang kadangkala mempunyai tekstur, warna atau bau yang hampir sama kerana berasal daripada formulasi asas yang serupa.
Namun, sesetengah jenama mungkin membuat sedikit pengubahsuaian seperti menambah wangian, ekstrak tertentu atau menukar pembungkusan mengikut identiti produk mereka.
Bagaimana pula dengan nombor NOT (kombinasi digit) daripada NPRA (National Pharmaceutical Regulatory Agency)?
Semua produk kosmetik di Malaysia wajib berdaftar dan mempunyai nombor NOT daripada NPRA sebagai langkah kawalan bagi memastikan produk berada dalam pemantauan pihak berkuasa.
Pengguna boleh semak sendiri di laman web NPRA dan pengguna juga perlu faham bahawa kewujudan nombor NOT bukan bermaksud produk tersebut 100 peratus selamat tanpa risiko.
Ia hanya menunjukkan bahawa produk tersebut telah didaftarkan dan maklumat asasnya telah direkodkan.
Jadi bagaimana mahu semak bahan dalam produk?
Selain NPRA, pengguna juga boleh menyemak bahan melalui platform dalam talian seperti INCIDecoder. Platform ini membantu menghuraikan nama saintifik bahan kosmetik yang kadang-kadang sukar difahami oleh pengguna biasa.
Kalau tak faham nama saintifik, masukkan sahaja nama ingredient (bahan) dan sistem akan terangkan fungsi bahan itu.
Kini juga, teknologi seperti kecerdasan buatan boleh digunakan sebagai bantuan awal untuk menyemak dan memahami kandungan produk dengan lebih mudah.
Apakah bahan yang sering disalah faham sebagai bahaya?
Ramai takut bila nampak sodium benzoate, phenoxyethanol atau alkohol. Hakikatnya, bahan seperti sodium benzoate dan phenoxyethanol ialah bahan pengawet yang sangat penting dalam memastikan produk tidak cepat rosak dan bebas daripada pertumbuhan bakteria atau kulat.
Bagi sesetengah produk, alkohol membantu penyerapan bahan aktif, namun bagi kulit kering atau sensitif, ia mungkin kurang sesuai.
Mengapa masih banyak produk bermasalah di pasaran?
Antara punca utama ialah permintaan pengguna sendiri yang mahukan hasil cepat dengan harga murah sekali gus menyebabkan ramai pihak mengambil peluang untuk masuk ke pasaran tanpa pengetahuan formulasi yang mencukupi.
Ada peniaga yang lebih mengutamakan keuntungan berbanding integriti dan keselamatan pengguna, lalu tambah bahan aktif secara berlebihan atau menggunakan bahan tidak dibenarkan.














