KOTA BHARU – Sebanyak 153 daripada 212 jeti atau pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok bermula dari Pengkalan Kubor hingga Rantau Panjang akan dirobohkan bermula pertengahan Oktober ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, kerja-kerja merobohkan itu melibatkan pengkalan haram yang dikenal pasti dibina di atas tanah kerajaan.
Menurutnya, bagi pangkalan haram di kawasan tanah persendirian pula akan diteliti oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana ia di bawah bidang kuasa pihak terbabit.
“Pada asasnya, notis tidak diperlukan kerana pembinaan jeti itu dilakukan secara haram. Atas dasar budi bicara, kita tetap mengeluarkan notis peringatan terlebih dahulu.
“Operasi ini akan diketuai Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) daripada segi keselamatan,”katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, setakat ini, tiada sebarang bantahan atau aduan diterima berhubung kerja-kerja meroboh pangkalam haram. – KOSMO! ONLINE