“SAYA berasal dari Johor dan sejak kecil memang dibesarkan dalam suasana pendidikan agama.
“Saya bersekolah agama hingga darjah khas, malah semasa kecil arwah ibu pernah mengajar mengaji di rumah secara sukarela tanpa bayaran.
“Kadang-kadang saya turut membantu ibu mengajar anak-anak jiran. Jadi, apabila dewasa, saya yakin inilah jalan hidup sebenar untuk meneruskan legasi ibu.”
Itu mukadimah Pengasas dan Pengurus YokNgaji, Norhaja Masno saat membuka bicara bersama K-Wanita mengenai titik tolak penglibatannya dalam perkhidmatan pengajian al-Quran sejak 2017.
Menurut wanita berusia 49 tahun dan ibu kepada tujuh cahaya mata ini, YokNgaji bermula selepas dirinya menyertai kursus Al-Baghdadi.
“Kaedah Al-Baghdadi memperkenalkan cara belajar mengaji yang sistematik, mudah difahami dengan asas tajwid dan makhraj yang ringkas tetapi berkesan.
“Selepas tamat kursus tersebut, maka dari situlah saya rasa terpanggil untuk serius kerana melihat ramai yang masih belum mampu membaca al-Quran dengan baik,” katanya.
Menyorot kisah lama, Norhaja memberitahu, usai tamat belajar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dia terlebih dahulu bekerja di sebuah syarikat dalam bidang pembinaan selama beberapa tahun.
Pun begitu, lama-kelamaan dia berasa bidang itu bukan jiwanya.
“Meskipun ada kerjaya tetap dan pendapatan boleh dikatakan lumayan, hati saya tidak pernah puas kerana tahu ada amanah lebih besar Allah mahu saya laksanakan.
“Ia tidak lain tidak bukan iaitu mendidik masyarakat dengan al-Quran.
“Kini, selain mengurus syarikat YokNgaji, saya juga sedang melanjutkan pengajian dalam Diploma Bahasa Arab & Syariah di Kolej Pengajian Tinggi Islam Al-Insaniah (KPTI) sebagai usaha menambah ilmu dan memantapkan lagi kefahaman dalam bidang agama,” ujarnya.

Berkongsi mengenai keunikan YokNgaji, Norhaja menyatakan pusat pengajian miliknya menawarkan kaedah pembelajaran berstruktur secara fizikal dan online yang mana pelajar diajar daripada asas huruf hijaiyyah, tajwid, makhraj hingga hafazan.
“Di YokNgaji, kami menawarkan waktu fleksibel yang mana ia amat sesuai untuk golongan kanak-kanak, remaja, dewasa termasuk warga emas dan yang sudah berpencen serta pekerja syif yang sibuk.
“Kami juga mempunyai barisan guru berjiwa pendidik yang begitu sabar, mesra dan mengajar dengan penuh kasih sayang serta berkemahiran.
“Pada masa sama, kami turut menawarkan kelas transit bermodul kepada pelajar dengan pelbagai pengisian ilmu bermanfaat dan aktiviti sunnah termasuk memanah pada setiap minggu,” kata Norhaja.
Tambahnya, yuran di YokNgaji juga amat berpatutan dan boleh diakses semua lapisan masyarakat tanpa mengira umur.
Lebih lapan tahun beroperasi, pelbagai kejayaan telah diperolehi termasuk pernah memenangi anugerah Guru Terbaik dan Centre Terbaik Peringkat Negeri Johor anjuran Al-Baghdadi pada 2017.
Selain itu, pada tahun lalu, YokNgaji turut berjaya menganjurkan Program Khatam al-Quran 30 Juzuk di Peringkat Johor dengan penyertaan 100 peserta.
Norhaja turut bersyukur kerana telah berjaya membimbing ribuan pelajar seawal usia lima tahun hingga warga emas.
Sedikit mengenai cabaran dalam mengusahakan pusat pengajian, wanita berasal dari Batu Pahat, Johor ini mengakui cabaran paling besar adalah ketika perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Waktu itu, kami baru sahaja menambah premis tetapi kerajaan umumkan penutupan dua minggu yang akhirnya berlarutan lebih dua tahun.
“Bayangkan, saya tetap perlu membayar sewa, gaji guru, caruman pekerja dan segala macam bil meskipun tidak semua pelajar boleh hadir dan dapat memberi komitmen termasuk menerusi kelas secara online.
“Ada juga pelajar yang menangguh bayaran yuran berbulan-bulan sebelum akhirnya berhenti dan hilang begitu sahaja tanpa menjelaskan jumlah tunggakan.
“Ketika itu, saya hanya mampu bertahan dengan bantuan ibu bapa yang banyak menyokong dari segi kewangan semasa mereka masih hidup selain suami dan anak-anak,” katanya.
Akui Norhaja lagi, ketika itu dia hampir berputus asa tetapi apabila mengenangkan pengorbanan arwah ibu dan melihat anak-anak murid yang masih perlukan bimbingan, semangat itu datang semula.
Menutup kisah, dalam masa lima ke 10 tahun lagi, YokNgaji optimis menjadi pusat pengajian al-Quran berkualiti yang dipercayai di seluruh Malaysia.
Norhaja juga merancang membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada para guru selain menawarkan program khas untuk golongan profesional yang sibuk termasuk bekerja syif.
“Kami juga mahu menjadi pusat transit bermodul berasaskan al-Quran nombor satu di Johor dan menjadi pilihan utama ibu bapa.
“YokNgaji sentiasa membuka peluang untuk sesiapa sahaja yang mahu belajar al-Quran menerusi pelbagai pakej yang ditawarkan,” katanya yang mengajak orang ramai layari laman web www.yokngaji.com.














