MENERUSI The Milkfish Lady, Shamin Shaimah telah mengubah minat mendalamnya terhadap dunia memancing menjadi misi untuk mendidik dan memberi inspirasi kepada komuniti terutamanya wanita serta generasi muda.
Misi dan falsafah
Bagi Shamin, memancing bukan sekadar aktiviti riadah untuk menangkap ikan. Ia adalah satu cara untuk berhubung dengan alam semula jadi, membina kesabaran dan mengeratkan ikatan kekeluargaan.
Berpegang pada falsafah ini, dia mengasaskan organisasi The Milkfish Lady iaitu sebuah platform yang mempunyai misi untuk menjadikan hobi memancing sebagai aktiviti yang boleh dinikmati oleh seisi keluarga.
Dengan menganjurkan bengkel dan klinik memancing, Shamin mewujudkan persekitaran yang selamat dan menggalakkan ibu bapa untuk membawa anak-anak mereka mengenali dunia hanyir ini.
Shamin juga menjadi sumber inspirasi dan secara aktif menggalakkan lebih ramai wanita menceburi hobi ini, sekali gus membuktikan bahawa jantina bukanlah penghalang untuk berjaya dalam sukan memancing.

kepada Nankairel untuk rekod dunia ikan toman terbesar.
Melestarikan amalan dan etika sebagai teras utama, Shamin adalah penyokong kuat amalan tangkap dan lepas (catch and release) dengan mendidik komuniti tentang cara betul mengendalikan ikan bagi meminimumkan kecederaan dan memastikan kelangsungan hidupnya selepas dilepaskan semula ke habitat asal.
Pengiktirafan antarabangsa
Usaha gigih Shamin tidak terhenti di peringkat tempatan.
Dedikasinya dalam pendidikan dan pemuliharaan telah menarik perhatian badan antarabangsa.

Salah satu pencapaian terbesar Shamin adalah bekerjasama dengan International Game Fish Association (IGFA), sebuah organisasi sukan memancing terkemuka di dunia, dan dia juga merupakan wakil IGFA di Asia Tenggara.
Bersama IGFA, Shamin banyak membantu dalam menterjemahkan risalah dan bahan bacaan ke dalam bahasa Melayu, satu langkah penting yang menjadikan etika memancing dan pemuliharaan lebih mudah diakses oleh komuniti tempatan.
Penglibatan ini mengukuhkan lagi statusnya sebagai seorang tokoh yang dihormati dalam dunia sukan memancing, bukan sahaja di Malaysia, malah di peringkat global.
Tidak berhenti di situ, Shamin turut membantu pemancing tempatan dalam usaha untuk mencipta rekod dunia di dalam IGFA.
Melalui semangatnya yang tidak pernah luntur, The Milkfish Lady terus memberi inspirasi kepada generasi baharu untuk bergiat aktif dalam kegiatan memancing, menghormati hidupan air dan menghargai keindahan alam semula jadi di sekeliling mereka.














