fbpx
WAKIL Perisma menyampaikan sumbangan kepada Saharodah (dua kiri) ketika menziarahi anaknya di kediaman keluarganya di Cameron Highlands, Pahang baru-baru ini.

Poliklinik Al-Farhain, Perisma Pahang santuni anak OKU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya.

Itulah pepatah yang dapat menggambarkan pengorbanan dua pasangan suami isteri di Cameron Highlands, Pahang. Mereka gigih membesarkan anak orang kurang upaya (OKU).

Muhammad Kamarul Fakhrulddin Mustafa, 31, dan isterinya, Nurul Haristhah Mohamad, 31, tidak pernah mengeluh memiliki anak istimewa, Muhammad Hasanal Khaleed, 11 bulan yang menghidap penyakit Bilateral CTEV.

Sementara itu, Mohd. Yazid Yusof, 55, dan isterinya Saharodah Jaafar, 50, pula gigih membesarkan Ahmad Amir Amzar, 14, yang menghidap sindrom Down, masalah jantung serta asma.

Muhammad Kamarul dan Mohd. Yazid berkhidmat sebagai anggota bomba di Balai Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands.

Memahami keperluan mereka, , Poliklinik Al-Farhain cawangan Cameron Highlands dan Persatuan Suri dan Pegawai Wanita (Perisma), Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang telah bekerjasama untuk menghulurkan bantuan berupa wang tunai.

Pengerusi Perisma Pahang, Datin Suraya Jusoh berkata, sumbangan yang diserahkan bertujuan meringankan beban keluarga berkenaan.

“Walaupun jumlah bantuan ini mungkin kecil berbanding beban yang mereka tanggung selama ini, namun kami berharap ia sedikit sebanyak membawa kegembiraan kepada mereka. Kunjungan kami ini juga sebagai tanda kasih sayang dan ingatan kepada mereka yang kurang bernasib baik.

“Kuatnya mereka menghadapi dugaan ini. Semangat itu sebenarnya memberi inspirasi dan impak positif kepada kami juga,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Tambahnya, Perisma Pahang akan terus merangka pelbagai program kebajikan untuk meringankan beban mereka yang memerlukan.

Pada kesempatan sama, Suraya juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Pusat Rawatan Al Farhain yang bermurah hati menaja sumbangan kali ini.

DR. AFIF dan pasukannya aktif membantu komuniti terutamanya dari segi bantuan perubatan.

Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Rawatan Al-Farhain, Dr. Afif Mohd. Ridzwan, program kebajikan bukanlah misi baharu buat pasukan mereka.

“Terima kasih kepada Perisma Pahang kerana bekerjasama dengan kami untuk memberi sumbangan kepada anak-anak OKU ini.

“Diharapkan sumbangan tersebut sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka” katanya.

Jelasnya, atas rasa tanggungjawab dan ingin memberi semula kepada masyarakat, Pusat Rawatan Al-Farhain sentiasa membantu masyarakat terutamanya dalam soal perubatan.

“Kami telah lama mengambil pendekatan proaktif ini dengan memberi rawatan percuma kepada mereka yang memerlukan. Misi ini bukan baharu dan ia diteruskan dari semasa ke semasa.

“Sejak penubuhan pusat rawatan ini sekitar tahun 2020, pelbagai program kesihatan dan kemasyarakatan telah dianjurkan, semuanya dengan niat untuk berkongsi kebaikan.

“Inisiatif kami bukan untuk menggantikan mana-mana sistem, sebaliknya lebih kepada menyokong dan melengkapi usaha yang sedia ada,” ujarnya.

Tambah Dr. Afif, pusat rawatan itu mahu menjadi salah satu ‘tangan tambahan’ yang membantu meringankan beban masyarakat terutamanya golongan kurang berkemampuan.

Katanya lagi, pengalaman sebelum ini telah membuka matanya tentang betapa pentingnya rawatan tambahan terutamanya bagi mereka yang perlu dibantu segera.

Jelas Dr. Afif, selain di Cameron Highlands, Pusat Rawatan Al-Farhain juga mempunyai cawangan di tempat lain.

“Kini, kami sudah mempunyai 11 cawangan klinik di tiga buah negeri.

“Di Kelantan sahaja terdapat tujuh cawangan, sementara di Terengganu, terdapat satu cawangan di Jerteh, manakala di Pahang kami beroperasi di Raub, Cameron Highlands dan Kuala Lipis.

“Selain klinik, kami juga mengendalikan tiga buah farmasi serta dua pusat dialisis,” katanya yang turut aktif turun padang bersama pasukannya untuk menganjurkan program kesedaran kesihatan dalam kalangan komuniti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN