GEORGE TOWN – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengakui beliau masih belum sempat menebus bantuan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) bernilai RM100 yang diberikan kerajaan.
Menurutnya, walaupun belum menebus bantuan tersebut, beliau merancang untuk menyumbangkannya semula kepada rakyat di kawasan Parlimennya.
“Saya belum lagi (tebus), belum sempat lagi. Tapi insya-Allah saya akan sedekahkan, kemungkinan besar di kawasan Parlimen saya,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, Fahmi menyampaikan bantuan Tabung Kasih@Hawana kepada wartawan Kwong Wah Yit Poh, Choo Kar Chun, 44, yang berdepan masalah kesihatan.
Kar Chun menjadi penerima ke 500 manfaat daripada Tabung Kasih@HAWANA sejak inisiatif itu diperkenalkan di bawah Kementerian Komunikasi dan dilaksanakan melalui Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).
Sebelum ini, Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mengajak wakil rakyat parti itu dan orang ramai yang berkemampuan untuk ‘pass it forward’ atau memanjangkan bantuan Sara RM100 diterima mereka kepada golongan memerlukan. – KOSMO! ONLINE














