PUTRAJAYA – Kerajaan menjelaskan dakwaan penghantaran tambahan 200 juta liter diesel ke Australia bukan milik Malaysia.
Sebaliknya, Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil berkata, bekalan diesel berkenaan adalah sebahagian kontrak perdagangan pihak Australia dengan syarikat petroleum antarabangsa iaitu British Petroleum atau BP.
Katanya, perkara itu telah disahkan oleh Pusat Arahan Komunikasi Majlis Tindakan Ekonomi Negara dan pihak berkaitan.
“Saya ada membaca laporan daripada sebuah agensi berita dari Australia yang dimaksudkan 200 juta liter diesel itu melibatkan sejumlah negara termasuk Brunei dan Malaysia.
“Namun, semakan mendapati bahawa ia bukan diesel Malaysia tapi sama (dakwaan sama) seperti kes penghantaran diesel ke Filipina baru-baru ini,” katanya pada sidang akhbar pasca mesyuarat Jemaah Negeri, di sini hari ini.
Katanya, difahamkan pihak Australia mempunyai kontrak perdagangan dengan BP yang mempunyai gudang di perairan Malaysia dan kapal yang akan mengangkut diesel tersebut akan bergerak dari Malaysia.
Hari ini, agensi berita Australia melaporkan tambahan 200 juta liter diesel sedang dalam perjalanan ke Australia dengan bekalan itu diperoleh melalui skim pembiayaan eksport kerajaan Persekutuan.
Difahamkan, bekalan itu dibawa dari Korea Selatan selain satu dari Brunei dan satu dari Malaysia. – KOSMO! ONLINE














