RABAT – Maghribi bakal melangkah ke saingan Piala Dunia kali ini dengan membawa momentum daripada pencapaian cemerlang mereka di Qatar kira-kira empat tahun lalu.
Maghribi mencipta sejarah penting dalam bola sepak Arab dan Afrika pada Piala Dunia Qatar 2022 apabila menjadi pasukan pertama dari rantau tersebut yang berjaya mara ke separuh akhir.
Namun, mereka masih dihantui kenangan Piala Dunia 1998 di Perancis apabila sekali lagi bakal berdepan beberapa lawan utama yang pernah mereka temui sebelum ini.
Pasukan yang dikenali sebagai ‘Singa Atlas’ akan bersaing dalam Kumpulan C di Piala Dunia 2026 bersama Brazil, Scotland dan Haiti, sekali gus mengimbau kembali peristiwa yang berlaku di Perancis pada tahun 1998.
Maghribi pernah menentang Brazil dalam Kumpulan A Piala Dunia 1998 di Perancis, tetapi mengalami kekalahan pahit apabila tewas 3-0 dan keputusan tersebut memberi kesan besar kepada buat mereka apabila tersingkir pada pusingan pertama.
Walaupun Maghribi berjaya membalas dendam terhadap Brazil dalam perlawanan persahabatan yang berlangsung pada Mac 2025 apabila mencatat kemenangan 2-1, pertemuan yang bakal berlangsung pada Piala Dunia kali ini tetap mempunyai kepentingan besar
Perlawanan itu dianggap istimewa kerana kemenangan dan kutipan tiga mata penuh akan membantu mereka meneruskan momentum kejayaan yang dibina sejak kempen Piala Dunia Qatar 2022.
Menewaskan Brazil dan Scotland akan menjadi ujian terbesar dalam peringkat kumpulan dan kejayaan melakukannya mampu membuka jalan buat pasukan kendalian Mohamed Ouahbi untuk muncul sebagai salah satu kuasa yang digeruni dalam kejohanan tersebut. – AGENSI














