KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan gagal dalam permohonan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini untuk melucut hak wang berjumlah RM677,872.55 yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, yang didakwa berkaitan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ia berikutan apabila Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin dalam keputusannya menolak permohonan pihak pendakwaan selaku pemohon terhadap Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor sebagai responden.
Dalam penghakiman, Muhammad Jamil berkata, mahkamah mendapati, pemohon gagal membuktikan wang yang disita adalah hasil daripada aktiviti haram selain Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor telah mengemukakan keterangan untuk membuktikan bahawa wang yang disita diterima daripada sumber-sumber lain.
“Atas imbangan kebarangkalian, mahkamah mendapati pemohon gagal membuktikan bahawa wang yang disita adalah hasil daripada aktiviti haram. Oleh itu, permohonan pemohon ditolak,” kata hakim itu.
Terdahulu dalam prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Haslinie Hashim, manakala peguam Syahrul Syazwan Salehin mewakili Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor.
Permohonan lucut hak itu difailkan pihak pendakwaan terhadap UMNO Negeri Johor mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Sebelum ini, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata agensi itu telah memfailkan permohonan tersebut terhadap 41 entiti.
Antaranya terdiri daripada individu, syarikat dan parti politik untuk mendapatkan semula kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB yang SPRM percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. K !ONLINE














