KUALA LUMPUR – “Saya tidak ada apa-apa komen sehingga saya dapatkan perinciannya terlebih dahulu.”
Itu respons ringkas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir terhadap isu 14 Ahli Dewan Undangan (ADUN) Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan, hari ini yang mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Beliau menegaskan, akan merujuk kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid, memandangkan perkara tersebut baharu sahaja dibangkitkan.
“Saya akan rujuk kepada Pengerusi BN. Apa pun, mereka baru sahaja buat kenyataan tersebut, (jadi) dari segi perinciannya saya (akan) cuba dapatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Taklimat Media bagi Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Bersama Antara Malaysia – Republik Turkiye dan Kongres Pendidikan Bumiputera di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, seramai 14 ADUN BN Negeri Sembilan hari ini mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin, sekali gus menarik sokongan terhadap kerajaan negeri sedia ada.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, keputusan itu dicapai secara sebulat suara oleh kesemua ADUN terlibat.
“Saya bersama 13 ADUN yang mewakili UMNO BN Negeri Sembilan sangat berdukacita dan kecewa dengan krisis yang berlaku.
“Sebagai sebuah parti yang sangat menghormati institusi adat dan perlembagaan, kami tidak akan sesekali mengambil pendirian untuk mencampuri urusan berkaitan,” katanya pada sidang akhbar di Wisma UMNO Seremban, hari ini. – KOSMO! ONLINE














