KAJANG – Polis menahan seorang lelaki yang memegang sebilah pisau sambil berdiri di atas bumbung sebuah rumah di Semenyih di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner, Naazron Abdul Yusof berkata pihaknya menerima panggilan dari orang awam pada pukul 8.50 malam.
Beliau berkata setibanya di lokasi lelaki berusia 48 tahun itu yang hanya memakai seluar pendek dan tidak berbaju sedang berdiri di atas bumbung sebuah rumah.
“Setelah hampir empat jam usaha memujuk dilakukan oleh polis dan anggota bomba, suspek berjaya ditahan di tempat kejadian bersama rampasan sebilah pisau.
“Hasil pemeriksaan awal, lelaki tempatan itu dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental dan dibawa serta dirujuk kepada pihak Hospital Kajang bagi tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Naazron, semakan mendapati suspek mempunyai 26 rekod kes jenayah termasuk penyalahgunaan dadah.
“Suspek juga dipercayai bukan berasal dari kawasan Semenyih dan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca kejadian dan bagaimana suspek berada di kawasan kejadian sedang dijalankan,” katanya.
Kes disiasat dibawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Bagi sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian, boleh berhubung dengan mana-mana balai yang berdekatan atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes iaitu Inspektor Mohamad Khairie Ridhwan Azmi menerusi talian 011-36307974.- KOSMO! ONLINE