SEREMBAN – Kes dua beradik maut selepas kereta yang dinaiki terjunam ke dalam Sungai Linggi di Tanjung Agas, di Port Dickson, pagi semalam kini disiasat sebagai kes bunuh.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, tangkapan telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson terhadap seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun disyaki bapa kepada mangsa dan seorang wanita tempatan berusia 41 tahun kerana memberi keterangan yang meragukan mengenai kejadian tersebut.
Malah menurut beliau, semakan rekod lampau terhadap suspek lelaki didapati terdapat sebanyak 16 kes di mana empat kes masih dikehendaki (wanted), manakala suspek wanita tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
“Hasil saringan ujian air kencing kedua-dua suspek bagaimanapun adalah negatif. Dalam pada itu, semakan ke atas kereta terbabit didapati merupakan kenderaan yang dilaporkan hilang bersabit Nusa Bestari repot 359/22.
“Kedua-dua suspek akan di bawa ke Mahkamah Seremban pagi ini bagi permohonan reman. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Semalam, media melaporkan dua beradik meninggal dunia selepas kenderaan dinaiki mereka bersama ibu dan bapa terjunam ke dalam sungai di jambatan Tanjung Agas, Port Dickson.-KOSMO! ONLINE