fbpx
Gambar hiasan.

Dewan Rakyat: TH teliti tambah bantuan haji golongan B40

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Tabung Haji (TH) akan meneliti cadangan menambah bantuan kewangan haji kepada bakal jemaah daripada golongan B40 sekiranya kos menunaikan ibadah itu terus meningkat pada masa hadapan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, bagi musim haji tahun ini, TH mengekalkan bantuan kewangan secara bersasar walaupun kos sebenar menunaikan haji meningkat kepada RM33,300 seorang.

Menurut beliau, jemaah haji kategori B40 hanya perlu membayar RM15,000, manakala baki RM18,300 ditanggung menerusi bantuan kewangan yang disediakan TH.

“Bantuan kewangan haji ini dibiayai daripada keuntungan pelaburan TH yang dijana daripada simpanan pendeposit.

“Oleh itu, pemberian bantuan kewangan haji perlu dibuat secara bersasar dan berhemah dengan mengambil kira keperluan bakal haji serta kepentingan pendeposit secara keseluruhannya,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) berhubung kesediaan kerajaan dan TH untuk menambah bantuan kewangan haji kepada bakal jemaah daripada kumpulan B40 berikutan trend peningkatan kos ibadah itu.

Bagaimanapun, katanya, TH akan memperhalusi cadangan untuk meningkatkan lagi bantuan kewangan kepada bakal jemaah B40 bagi musim haji akan datang.

Marhamah berkata, TH turut meneliti penambahbaikan sistem pengurusan giliran haji supaya lebih sistematik dan adil khususnya kepada pendeposit yang membuat persediaan awal serta mempunyai simpanan mencukupi.

Katanya, langkah itu dapat mengurangkan keperluan membuat tawaran gantian berulang apabila terdapat bakal jemaah yang menangguhkan pemergian atas faktor kewangan.

“Cabaran utama ketika ini adalah jumlah pendaftaran haji yang melebihi empat juta orang berbanding kuota Malaysia sekitar 31,600 orang setahun. Keadaan itu menyebabkan mereka yang baru mendaftar perlu menunggu dalam tempoh yang sangat panjang,” ujarnya.

Beliau berkata, kerajaan dan TH akan terus komited meningkatkan mutu perkhidmatan, kebajikan serta keselamatan jemaah dengan aspirasi menjadikan Malaysia sebagai peneraju dunia dalam pengurusan dan perkhidmatan haji. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN