fbpx
NORZITA (kiri) dan suami, Ismail (kanan) berterima kasih kepada bantuan berterusan MAIPk yang membuatkan perniagaan katering mereka berdua semakin berkembang dan stabil.

Bantuan berterusan MAIPk ibarat ‘tonik’ buat Norzita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Pengalaman terlibat dalam dunia perniagaan secara serius sejak 2001 mematangkan kehidupan pasangan suami isteri iaitu Norzita Hamid dan Ismail Zaini Mohamed Noor yang masing-masing berumur 45 tahun. 

Ibarat roda kehidupan, adakalanya bergembira dan ada masanya hanya mampu mengukir senyuman di sebalik kedukaan kerana dunia perniagaan yang banyak mengajar erti ketabahan. 

“Namun, pendamping utama iaitu warga kerja Majlis Agama  Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) tidak pernah meninggalkan kami sejak 2017 dengan memberikan tunjuk ajar dan kursus berdaya tinggi.

“Saya mengikuti Pro per A dan Program Mentor-Mentee MAIPk yang banyak memberi pendedahan dalam bidang makanan khususnya katering,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di Kafe Ar Raudah di sini baru-baru ini. 

Beliau dan suami pada mulanya terlibat dalam perniagaan bakeri serta burger untuk menampung kehidupan bersama empat zuriat. 

Katanya, dia mengambil keputusan berhenti kerja sebagai penolong pengurus di sebuah  restoran makanan segera dan memulakan perniagaan bakeri pada 2016. 

“Suami menjadi runner menggunakan motosikal untuk penghantaran kepada pelanggan sekitar Ipoh dan Batu Gajah. Selain itu, dia turut mengambil pesanan secara pukal daripada pelajar sekolah asrama penuh berhampiran kediaman kami di Ipoh,” katanya.

Katanya, disebabkan persaingan sengit, bidang perniagaan bakerinya mulai merosot sehingga terpaksa menutup kedai, begitu juga gerai burger yang tidak dapat bertahan akibat persaingan dengan peniaga lain.

“Pada mulanya, saya dan suami agak buntu, namun beralih kepada perniagaan makanan ala kios di bangunan kerajaan selain mengambil tempahan secara kecil-kecilan.

“Selain itu, kami mengambil bahagian dalam pesta konvokesyen di seluruh negeri sehingga ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, Selangor. Merasa jugalah tidur dalam kereta kerana inap desa dan hotel telah penuh ditempah,” ujarnya.

Pemegang Diploma Perakaunan Politeknik Ungku Omar ini mula dapat menarik nafas lega kerana perniagaan kateringnya mula mendapat sambutan menggalakkan daripada agensi kerajaan, korporat termasuk pihak masjid dan surau. 

Ujarnya, MAIPk tentunya merupakan pelanggan utama tetap membantu pada bila-bila masa, selain memperkenalkan kami kepada pelanggan yang lain. 

“Kami juga berjaya dalam proses tender sehingga dapat beroperasi di Kafe Ar Raudah di Kompleks Islam Darul Ridzuan bermula tahun lalu. Kami memperoleh jualan kasar mencecah lima angka setiap bulan hasil katering dan kafe. 

“Kini kami mampu membayar zakat pendapatan secara konsisten setiap bulan,” kata pemenang Anugerah Ikon Asnaf pada Majlis Sambutan Maal Hijrah peringkat Perak 1447H /2025M itu. 

Beliau juga mendapat kontrak pembekalan makanan untuk program anjuran  Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak) selama 10 bulan bermula bulan ini.

Jelasnya, program Proper A wajar diberikan perhatian oleh golongan kurang berkeupayaan kerana ia berpotensi mengubah nasib mereka yang mahu keluar daripada kelompok kemiskinan. 

Program Proper A MAIPk menepati lagship kelima pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad iaitu Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat iaitu 1 Keluarga 1 Usahawan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN