KERAP kali penulis mendengar keluhan seorang kenalan yang meluahkan perasaan apabila terpaksa memikul tanggungjawab menjaga dua generasi iaitu ibu bapa dan isteri serta anak-anak.
Bukan sahaja penat emosi dan fizikal, malah dia sentiasa berasa tersepit dan terbeban apabila perlu bekerja lebih masa bagi memenuhi keperluan kedua-dua pihak tersebut.
Pendapatannya sebanyak lima angka dan berada dalam kategori T20. Pada pandangan ‘mata kasar’ ia merupakan satu jumlah yang selesa untuk menjalani kehidupan bersama keluarga.
Namun, untuk membesarkan lima anak yang masih bersekolah dan pada masa sama dia perlu membantu ibu bapanya yang sudah berusia, ia bukanlah satu tugas yang mudah.
Keadaan yang dikategorikan sebagai generasi sandwic itu membuatkan teman penulis semakin lelah dan sentiasa dalam kebimbangan kerana kerap gagal membuat simpanan serta perancangan masa depan sendiri.
Konflik ini hanyalah secebis daripada kisah yang sampai ke telinga penulis. Hakikatnya ramai lagi berdepan dengan situasi serupa berdasarkan perkongsian generasi muda di media sosial.
Kisah yang berbeza, tetapi isunya adalah sama iaitu berkisar tentang individu yang terpaksa menjadi tulang belakang kepada dua generasi atau berkemungkinan lebih.
Pakar kewangan dan hartanah, Dr. Azizul Azli Ahmad, berkata, generasi sandwic merujuk kepada individu yang berada di antara dua tanggungjawab kewangan besar.
Jelas beliau, golongan tersebut perlu menjaga ibu bapa yang semakin uzur dan pada masa sama membesarkan zuriat sendiri.
“Mereka berada dalam situasi yang mana perlu menyara kedua-dua generasi ini serentak, yang sering menimbulkan tekanan kewangan, emosi dan fizikal.
“Mereka perlu membayar kos penjagaan kesihatan untuk ibu bapa dan juga perbelanjaan pendidikan, kesihatan, dan kebajikan anak-anak,” katanya.
Beliau menjelaskan, terdapat tiga jenis ‘sandwic’ dalam generasi ini daripada perspektif pengurusan kewangan, antaranya ialah ‘open-faced sandwich’.
“Ia merujuk kepada mereka yang hanya perlu menjaga ibu bapa atau anak-anak, tetapi tidak kedua-duanya serentak.
“Beban kewangan kurang berat berbanding generasi sandwic tradisional, namun masih ada tanggungjawab besar,” katanya.
Kedua, kata beliau adalah ‘tradisional sandwich’ yang mana individu terlibat aktif menyokong kedua-dua generasi.
“Mereka adalah individu secara aktif menyokong kedua-dua generasi iaitu ibu bapa yang semakin tua dan anak-anak yang masih bergantung.
“Mereka perlu mengurus kos perubatan ibu bapa dan kos pendidikan serta perbelanjaan lain anak-anak secara serentak,” ujarnya.
Sementara itu, katanya, bagi kategori ketiga adalah ‘club sandwich’ iaitu merujuk kepada individu yang bukan sahaja menyokong ibu bapa dan anak-anak, tetapi juga cucu-cucu atau generasi muda lain dalam keluarga, atau mungkin ibu bapa yang lebih tua (seperti datuk dan nenek).
“Mereka berada dalam situasi di mana beberapa generasi bergantung kepada mereka, menjadikan beban kewangan lebih kompleks,” jelasnya.
Jelas Azizul, setiap ‘sandwic’ ini memerlukan strategi kewangan yang berbeza untuk mengurus keperluan serentak.
“Jadi mereka juga perlu memastikan keseimbangan antara tanggungjawab serta persediaan untuk masa depan mereka sendiri,” katanya.














