JAKARTA – Platform media sosial TikTok mengumumkan pihaknya menggantung sementara ciri siaran langsung di Indonesia selama beberapa hari ekoran protes ganas yang tercetus selepas seorang penunggang teksi motosikal mati dilanggar kenderaan polis.
“Disebabkan keganasan semakin meningkat dalam protes di Indonesia, kami memperkenalkan perlindungan tambahan untuk memastikan TikTok sebagai ruang yang selamat dan umum,” kata jurucakap TikTok kepada AFP.
“Atas kewaspadaan yang tinggi, TikTok LIVE digantung sementara selama beberapa hari di Indonesia,” kata seorang jurucakap TikTok kepada AFP.
Ekonomi terbesar Asia Tenggara itu digegarkan oleh protes di bandar-bandar utama kelmarin termasuk ibu kota, Jakarta dan bandar timur, Makassar di mana kebakaran di bangunan majlis tempatan mengorbankan tiga orang.
Protes juga berterusan kelmarin di bandar Surabaya, Pulau Jawa, serta di Pulau Bali dan Lombok.
Aplikasi perkongsian video itu berkata, pihaknya akan terus memantau keadaan dengan teliti.
Indonesia mempunyai antara penonton Live TikTok terbesar di dunia dengan lebih 100 juta pengguna.
Dalam beberapa video protes yang disiarkan pada aplikasi itu kelmarin, pengguna mengadu bahawa mereka tidak dapat menggunakan ciri TikTok LIVE. – AFP