fbpx
JALUR Gemilang bukan sekadar ben­dera, tetapi lambang maruah, identiti dan kebanggaan negara yang perlu dipertahan dan dikibarkan setiap masa. - GAMBAR HIASAN

‘Kalau tak tahu pasang Jalur Gemilang tanya Google’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JALUR Gemilang lambang kedaulatan dan identiti negara Malaysia yang mencerminkan semangat perpaduan, kemerdekaan serta kebanggaan rakyat terhadap tanah air.

Ia bukan sekadar sehelai kain yang berkibar megah, tetapi membawa makna mendalam dalam mencerminkan sejarah perjuangan serta jati diri rakyat Malaysia.
Kebelakangan ini banyak insiden yang menunjukkan segelintir masyarakat memandang remeh terhadap kepentingan dan kehormatan Jalur Gemilang.

Terdapat kes bendera dipasang secara terbalik, diabaikan dalam keadaan lusuh atau koyak serta kurang dikibarkan semasa sambutan bulan kemerdekaan.

Apabila rakyat mula mempersenda atau tidak mengendahkan lambang kebesaran negara, ia memberi isyarat bahawa nilai-nilai patriotisme semakin terhakis dalam diri masyarakat sekarang.

Bagi mengupas isu ini, wartawan Kosmo! Ahad, Zulkifli Manzor menemu bual tokoh ilmuan yang juga pakar sosial, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran.
Beliau merupakan bekas Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang kini memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

KOSMO! AHAD: Apa pendapat Datuk tentang makna sebenar Jalur Gemilang bagi rakyat Malaysia?
MOHAMMAD SHATAR: Jalur Gemilang bukan sekadar ben­dera, ia adalah lambang maruah, identiti dan kebanggaan negara.

Dalam sejarah, bendera merupakan simbol kemenangan atau kekalahan. Kalau jatuh ke tangan musuh, itu bermakna kita kalah.

Dalam konteks moden, ia me­lambangkan perpaduan dan jati diri nasional yang perlu dihormati dan dipertahankan.

Mengapa bendera dilihat sebagai simbol yang tidak boleh dipermainkan?
Kerana ia membawa nilai yang sangat tinggi. Seperti dalam sejarah Islam, para sahabat mempertahankan panji walaupun kehilangan tangan.

Ia bukan sekadar kain, tetapi simbol perjuangan, maruah dan identiti kita sebagai rakyat Malaysia. Ia mesti dijaga, dihormati dan tidak boleh dipermainkan secara sengaja mahupun tidak.

Apakah bentuk-bentuk ketidakpekaan yang kerap berlaku terhadap Jalur Gemilang dalam konteks masyarakat zaman sekarang?
Antara yang biasa berlaku seperti pemasangan secara terbalik, koyak, diletakkan di tempat tidak sesuai seperti longkang atau pokok.

Kadangkala orang anggap perkara ini remeh, tetapi ia me­nunjukkan kurangnya rasa hormat terhadap negara.

Ini bukan isu kecil kerana berkait langsung dengan nilai jati diri sebagai rakyat.

MENURUT Mohammad Shatar, setiap individu perlu memainkan peranan jika ternampak Jalur Gemilang terkoyak atau dipasang terbalik.

Datuk sebutkan tadi tentang ‘tersilap pasang’. Adakah alasan itu boleh diterima?
Saya tidak boleh terima alasan tersilap pasang sebab kita sudah merdeka lebih 60 tahun. Kita bukan baru belajar mengenal ben­dera.

Kalau seseorang itu tahu kepentingan bendera, dia akan pastikan dipasang dengan betul.

Zaman sekarang boleh rujuk Google untuk tahu kedudukan bendera dengan betul.

Apakah kaitan antara sikap rakyat dan cara mereka melihat bendera negara?
Cara kita melihat bendera me­lambangkan sikap kita terhadap negara.

Jika kita ambil ringan, maknanya kita tidak mempunyai jati diri dan semangat patriotik yang kuat. Ia juga mencerminkan tahap kesedaran dan tanggungjawab sosial rakyat terhadap lambang negara.

Bolehkah Datuk kongsikan hasil kajian datuk terhadap jati diri dalam kalangan remaja?
Saya pernah jalankan kajian melalui fokus kumpulan. Kami bahagikan sikap kepada tiga kategori. Kategori 1 tidak peduli langsung.

Kategori 2 tidak kisah tetapi akan buat jika disuruh. Kategori 3 peduli dan bertindak tanpa disuruh.

Kebanyakan remaja kita berada di kategori 2. Jadi, tugas kita ialah membantu mereka naik ke kategori 3.

Bagaimana kita boleh bantu anak muda berpindah dari kategori 2 ke 3?
Melalui pendedahan berterusan, kempen yang konsisten dan pendidikan dari peringkat awal.

Kita perlu tanamkan nilai jati diri sejak sekolah rendah, mungkin bermula dengan penceritaan tentang makna bendera dan sejarah kemerdekaan.

Adakah kempen patrio­tisme dilihat sebagai bermusim terutama ketika menjelang Hari Kebangsaan?
Itu masalahnya. Sekarang kita nampak bendera banyak sebab bulan Ogos. Selepas bulan kemerdekaan, bendera hilang. Ini tidak patut berlaku.

Kita perlu jadikan semangat patriotisme ini budaya harian, bukan hanya untuk sambutan rasmi.

Bagaimana pula Datuk secara peribadi menyemarakkan semangat patriotisme?
Saya pasang bendera di rumah sepanjang masa. Setiap tiga atau empat bulan saya tukar baharu.

Langkah ini secara tak langsung akan ditanya oleh mereka yang melihatnya. Itu peluang untuk kita terangkan kepada mereka makna bendera dan erti sebuah negara.

Adakah pemasangan ben­dera boleh menjadi alat pendidikan kepada anak-anak?
Apabila anak tengok bendera, mereka akan tanya. Dari situ kita boleh ceritakan tentang negara, kemerdekaan dan tanggungjawab.

Ini bentuk pendidikan tidak formal yang sangat berkesan ke­rana berlaku secara semula jadi.

Adakah Malaysia mempu­nyai peraturan yang cukup jelas dalam soal penghormatan terhadap Jalur Gemilang?
Peraturan sudah ada, cuma apa yang kurang adalah pelaksanaan dan ketegasan.

Kita pernah lihat keberkesa­nan kempen larangan merokok. Bila ada tindakan, orang ikut.

Perkara sama boleh dibuat terhadap kesalahan mempermainkan atau tidak menghormati bendera.

SETIAP rumah sepatutnya ada Jalur Gemilang untuk menyedarkan masyarakat tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia yang prihatin dengan identiti negara.

Apakah pandangan Datuk tentang peranan masyarakat dalam memastikan Jalur Gemilang dihormati dan tidak dipersendakan?
Setiap individu perlu memainkan peranan dan jangan harap pada kerajaan saja. Kalau nampak bendera koyak atau terbalik, kita betulkan.

Kalau kita semua ambil tanggungjawab, masyarakat kita akan jadi lebih prihatin dan bersatu.

Bagaimana pula dengan peranan institusi pendidikan tinggi dalam perkara ini?

Di MQA, kami memperkenalkan pendekatan value-based ­education. Setiap subjek perlu memasukkan elemen nilai termasuk cinta negara dan jati diri.
Pensyarah perlu suntik elemen ini dalam pengajaran mereka.

Adakah pengajaran sejarah masih relevan dalam membentuk jati diri?
Saya rasa ia sangat penting, tetapi bukan sekadar untuk lulus peperiksaan. Kita mahu pelajar memahami intipati sejarah.

Bila mereka faham susah payah perjuangan untuk merdeka, baru mereka akan menghargai erti kemerdekaan dan lambang negara seperti Jalur Gemilang.

Datuk ada buat kajian praktikal tentang kesedaran ben­dera. Boleh ceritakan?

Saya letakkan bendera koyak dan gambar Yang di-Pertuan ­Agong yang disorok celah pokok dalam satu program.

Saya nak tengok siapa yang perasan dan ambil tindakan. Yang benar-benar peka akan be­tulkan.

Yang lain cuma nampak tetapi tak buat apa-apa. Ini menunjukkan tahap jati diri yang berbeza.

Apakah kesan jika rakyat tidak bersatu dalam menghargai simbol negara?
Kalau semua pentingkan diri sendiri dan tidak lihat negara sebagai satu entiti bersama, negara mudah dijatuhkan.

Bukan secara fizikal, tetapi me­lalui ideologi dan propaganda.

Bendera adalah ‘simen’ yang menyatukan masyarakat. Tanpa itu, kita mudah terdedah kepada ancaman luar.

Adakah Datuk melihat kurangnya semangat pat­riotisme berkait dengan ke­selesaan hidup zaman kini berbanding zaman dahulu?
Generasi sekarang lahir dalam zaman serba selesa. Mereka tidak mengalami kesusahan se­perti generasi terdahulu.
Jadi, mereka susah nak faham kenapa kita kena pertahankan negara. Di sinilah pentingnya pe­ranan institusi, guru, ibu bapa dan media untuk sentiasa memberi kesedaran kepada mereka.

Bagaimana pula peranan agama dalam memupuk semangat patriotik?
Dalam agama Islam sendiri pun, mempertahankan negara adalah tanggungjawab. Dulu para sahabat pertahankan panji Islam sampai nyawa terakhir.

Jadi, nilai patriotisme bukan asing dalam agama, cuma kita perlu kaitkan dengan konteks semasa agar lebih difahami oleh generasi kini.

Adakah kita perlu menjadikan semangat mengibarkan Jalur Gemilang sebagai aktiviti komuniti?
Di Turkiye dan Amerika Syarikat, setiap komuniti ada tiang bendera besar. Ia simbol yang mencetus rasa bangga.

Di Malaysia, kita patut mulakan dari komuniti juga. Ini bukan sekadar kempen rasmi, tetapi amalan budaya.

Apakah harapan Datuk terhadap sambutan Hari Kebangsaan kali ini?
Saya harap ia bukan sekadar sambutan satu hari sahaja. Ia perlu menjadi titik mula kepada budaya berterusan dalam menghormati Jalur Gemilang.

Setiap rumah sepatutnya ada bendera, bukan sebab disuruh, tapi sebab sedar akan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia. Inilah masa untuk kita kembalikan semangat itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN