SINGAPURA – Insiden lanun serta rompakan bersenjata di Selat Melaka dan Singapura meningkat hampir empat kali ganda pada tahun ini, demikian menurut laporan baharu sebuah kumpulan pemantau anti lanun.
Akhbar The Guardian melaporkan, dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, terdapat 80 insiden lanun dan rompakan bersenjata di laluan air strategik itu.
Menurut Pusat Perkongsian Maklumat (ISC) ReCAAP, tempoh sama tahun lepas mencatatkan 21 insiden seumpamanya.
Selat Melaka yang merupakan laluan air yang sempit tetapi penting untuk perdagangan global, terletak antara Singapura, Malaysia dan Indonesia. Ia berfungsi sebagai koridor maritim utama di antara Lautan Hindi ke Lautan Pasifik melalui Laut China Selatan.
Pengarah Eksekutif ReCAAP ISC, Vijay Chafekar berkata, sebilangan besar insiden lanun dan rompakan tahun ini berlaku di Selat Phillip di mana kapal-kapal terpaksa memperlahan kelajuan di laluan air yang sempit.
“Kebanyakan kes bersifat oportunistik dan bukan konfrontasi, dengan anak-anak kapal dibiarkan tanpa kecederaan,” katanya.
Menurut Biro Kebangsaan Penyelidikan Asia, selat itu adalah laluan serantau paling sibuk dengan anggaran 90,000 kapal dagang dan 60 peratus perdagangan maritim global melaluinya setiap tahun.
Tiada satu pun daripada insiden 2025 di selat itu diklasifikasikan sebagai Kategori 1 iaitu jenis paling serius melibatkan senjata api atau pengambilan tebusan. Sebanyak 90 peratus insiden tidak mengakibatkan kecederaan, demikian menurut data ReCAAP.
Tujuh konfrontasi melibatkan pisau atau senjata replika, dengan seorang anak kapal mengalami cedera ringan, manakala pengangkut pukal adalah kapal yang paling kerap disasarkan (52 peratus), diikuti kapal tangki (24 peratus) dan kapal kontena (11 peratus).
Penganalisis-penganalisis tidak sependapat dalam mengesahkan tentang punca lonjakan itu. Sebilangan mencadangkan peningkatan trafik maritim ekoran lencongan kapal dari laluan perdagangan Laut Merah, yang terjejas oleh pemberontak Houthi di Yemen.
Daniel Ng daripada Persatuan Pemilik Kapal Asia (ASA) berkata, lanun-lanun beroperasi dalam sampan untuk mendekati kapal, kebiasaannya pada waktu gelap. Mereka menaiki kapal menggunakan galah panjang dengan cangkuk dan tali. – AGENSI