fbpx
Tangkap layar siaran langsung memaparkan tentera Zionis memintas sebuah bot GSF baru sebentar tadi.

‘Penculikan’ GSF berlaku terang-terangan pada siang hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) sekali lagi berdepan detik mencemaskan apabila beberapa buah kapal dipercayai telah dipintas secara terbuka pada waktu siang hari.

Berdasarkan perkembangan di Sumud Nusantara Tracker, kapal yang telah dipintas setakat ini adalah Cactus dan Furleto.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada kapal tersebut dinaiki para aktivis Malaysia atau pun tidak.

Sementara itu, berdasarkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang disiarkan secara langsung di platform YouTube GSF, situasi tegang bermula apabila beberapa kapal tentera dan bot menghampiri flotila terbabit ketika mereka sedang meneruskan pelayaran menuju Gaza.

Kelihatan kesemua aktivis kemudiannya menyarungkan jaket keselamatan bagi berdepan dengan segala kemungkinan.

Kapal-kapal tentera Zionis kemudiannya bertindak memintas laluan GSF sebelum anggota bersenjata dipercayai menaiki kapal berkenaan.

Lebih mengejutkan, beberapa CCTV di atas kapal turut dipecahkan dipercayai bagi menghalang rakaman insiden tersebut daripada tersebar.

Setakat ini, belum ada pengesahan rasmi mengenai jumlah delegasi yang ditahan atau keadaan semasa mereka selepas insiden tersebut.

Terdahulu, GSF 2.0 menghimpunkan aktivis kemanusiaan dari pelbagai negara bagi membawa bantuan serta menunjukkan solidariti kepada rakyat Gaza yang terus berdepan krisis kemanusiaan berpanjangan.

Sebelum ini, beberapa aktivis Malaysia dilaporkan ditahan dan dipintas ketika menyertai misi GSF 2.0 selepas beberapa kapal didakwa diceroboh tentera Israel di perairan antarabangsa.

Antara aktivis Malaysia yang terlibat ialah Zainal Rashid Ahmad, Osman Zolkifli, Dr. Jihan Alya Mohd. Nordin, Hazwan Hazim Dermawan, Mohd Hanafi Mohd. Salim, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman, Norhelmi Ab. Ghani, Mohd Redzal Amzah, Muhamad Muhsin Zaidi dan Mohd Shamsir Mohd. Isa.

Bagaimanapun, tekanan dan ancaman tersebut tidak mematahkan semangat mereka untuk meneruskan misi kemanusiaan berkenaan demi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada penduduk Palestin di Rafah dan Gaza.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN