PETALING JAYA – Hampir kesemua kapal misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF 2.0) dilaporkan berjaya melepasi Zon Kuning Pertama ketika meneruskan pelayaran menuju ke Gaza bagi memecahkan kepungan dan menyalurkan bantuan kepada penduduk Palestin.
Menerusi kemas kini dan perkembangan di sntracker.sumudnusantara, kesemua delegasi GSF 2.0 kini berada kira-kira 272 batu nautika dari perairan Gaza dan hanya berbaki sekitar 77 batu nautika sebelum memasuki Zon Merah Ketiga yang dianggap kawasan paling berisiko.
Situasi itu sekali gus meningkatkan kebimbangan kemungkinan berlaku tindakan pemintasan terhadap kapal-kapal bantuan berkenaan sebagaimana dibimbangi beberapa aktivis sebelum ini.
Terdahulu, aktivis kemanusiaan Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman memaklumkan misi tersebut berdepan risiko besar dipintas ketika berada di perairan antarabangsa berhampiran Cyprus.
Beliau berkata, sebanyak 52 buah bot yang menyertai misi itu bergerak secara aman dengan membawa bantuan kemanusiaan selain bertujuan memecahkan sekatan ke atas Gaza.
Dalam masa sama, gerakan solidariti tersebut bukan hanya melibatkan laluan laut, malah turut disertai konvoi darat membabitkan aktivis dari beberapa negara Afrika Utara yang bergerak menuju ke Rafah.
Bagaimanapun, kumpulan konvoi darat itu dilaporkan berdepan tekanan serta ancaman untuk ditahan ketika melalui wilayah timur Libya sebelum memasuki Mesir.
Sebelum ini, beberapa aktivis Malaysia dilaporkan ditahan dan dipintas ketika menyertai misi GSF 2.0 selepas beberapa kapal didakwa diceroboh tentera Israel di perairan antarabangsa.
Antara aktivis Malaysia yang terlibat ialah Zainal Rashid Ahmad, Osman Zolkifli, Dr. Jihan Alya Mohd. Nordin, Hazwan Hazim Dermawan, Mohd Hanafi Mohd. Salim, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman, Norhelmi Ab. Ghani, Mohd Redzal Amzah, Muhamad Muhsin Zaidi dan Mohd Shamsir Mohd. Isa.
Bagaimanapun, tekanan dan ancaman tersebut tidak mematahkan semangat mereka untuk meneruskan misi kemanusiaan berkenaan demi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada penduduk Palestin di Rafah dan Gaza.
GSF 2.0 merupakan kesinambungan gerakan solidariti antarabangsa bagi mendesak pembukaan laluan bantuan kemanusiaan ke Gaza susulan konflik berpanjangan yang menyebabkan krisis makanan, perubatan dan kemusnahan besar di wilayah berkenaan.
Misi itu turut mendapat perhatian masyarakat antarabangsa yang mengikuti perkembangan semasa menerusi siaran langsung dan sistem penjejakan kapal secara dalam talian.- KOSMO! ONLINE














