fbpx
Thiago (kiri) dan Saif yang ditahan di perairan antarabangsa berdekatan Kepulauan Crete, Greece pada 29 April lalu akhirnya dibebaskan.

Antara kita, Thiago dan Saif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Dua peserta Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 yang ditahan di perairan antarabangsa berdekatan Kepulauan Crete, Greece pada 29 April lalu sebelum dibawa ke Israel dan didakwa di Mahkamah Majistret Ashkelon, akhirnya dibebaskan.

Thiago Avila dan Saif Abukeshek ditahan oleh rejim Zionis bersama-sama 175 aktivis termasuk 10 rakyat Malaysia yang menyertai GSF 2.0 dalam misi break the siege (pecahkan sekatan) bagi menghantar bantuan ubatan dan makanan kepada penduduk Gaza.

Umum sedar, penduduk Palestin sehingga hari ini seumpama tinggal dalam penjara terbuka. Mereka terkepung di tanah air sendiri tanpa bekalan air bersih, elektrik, makanan, apa lagi ubat-ubatan.

Kita sendiri hanya mampu menyaksikan betapa derita dan sengsaranya rakyat Gaza ketika dihujani bom hampir 2 tahun 7 bulan oleh Zionis. Sebanyak 75,000 menjadi korban dengan lebih 30,000 adalah kanak-kanak.

Hari ini bumi Gaza hancur dan ranap. Hampir tiada lagi rumah untuk didiami, tiada sekolah, hospital dan kedai-kedai membuat roti. Jutaan penduduk Gaza hanya tinggal di khemah-khemah serba daif selain mengharapkan bantuan makanan dari luar untuk mengalas perut.

Demi rakyat Gaza, itulah punca GSF 2.0 dilancarkan. Ia bukan sekadar pelayaran biasa merempuh badai laut hampir 30 hari, malah tahu bakal berdepan dengan sekatan, gangguan, tangkapan dan keganasan oleh tentera Zionis. Namun, agak pelik apabila pelayaran kali ini menerima begitu banyak kecaman daripada sebahagian rakyat kita sendiri.

Bukan sahaja tidak yakin, malah mengutuk GSF 2.0. Saya berasa cukup sedih mengenang Thiago yang merupakan rakyat Brazil dan bukan beragama Islam, tetapi memiliki hati yang begitu dekat rakyat Gaza.

Semasa ditahan, Thiago dan rakannya, Saif dipukul, dibelasah dan disoal siasat dalam tempoh yang panjang. Jika mereka diperlaku demikian bagaimana pula dengan nasib lebih 10,000 tahanan Gaza di dalam penjara Israel.

Satu surat Thiago kepada anaknya Teresa yang disampaikan oleh peguam berbunyi: “Teresa yang dikasihi. Maaf kerana saya tidak berada di rumah bersama kamu sekarang. Malangnya ayah kamu, ibu kamu, dan begitu ramai orang di seluruh dunia memahami tugas bersejarah yang menjadi tanggungjawab kita untuk dilaksanakan.

“Lebih sejuta kanak-kanak menderita akibat genosid, kebuluran, mereka dibedah tanpa bius dan menjadi mangsa penindasan akibat kebencian, walaupun mereka tidak mengetahui apa itu Zionisme dan Imperialisme.

“Saya pasti kamu sangat merindui saya, dan semua ibu bapa kepada kanak-kanak Palestin juga sangat merindui anak-anak mereka serta sanggup melakukan apa sahaja demi menjalani kehidupan yang penuh kasih sayang…”

Jika kita menghayati setiap patah surat tersebut, sewajarnya kita insaf bahawa dunia termasuk setiap daripada kita mesti bertindak membantu rakyat Gaza.

Sokonglah apa sahaja bentuk gerakan yang ada. Jangan dipertikai gagal atau berjaya, tetapi persoalkan diri kita. Apa yang telah kita lakukan? Umpama seekor burung kecil membawa air membantu memadamkan api yang membakar Nabi Ibrahim. Burung itu tahu tidak mungkin berjaya, tetapi ia ada jawapannya ketika diejek haiwan lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN