fbpx
Hannah.

Pengundi Setiawangsa jangan risau, kerja tetap jalan – Hannah Yeoh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Penduduk Parlimen Setiawangsa diminta tidak bimbang susulan pengumuman Ahli Parlimennya, Nik Nazmi Nik Ahmad untuk mengosongkan kerusi tersebut semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, segala urusan dan perkhidmatan melibatkan penduduk kawasan itu akan terus berjalan seperti biasa tanpa sebarang gangguan.

Menurut beliau, pihaknya juga telah mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperkukuhkan operasi di kawasan Setiawangsa bagi memastikan kebajikan penduduk terus terbela.

“Saya telah meminta Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud membantu memperkukuhkan peranan Pejabat DBKL Cawangan Setiawangsa dalam menangani isu-isu tempatan.

“Ini termasuk penambahan tenaga kerja bagi mempercepatkan tindakan di lapangan sepanjang tempoh ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hannah pada masa sama merakamkan penghargaan kepada Nik Nazmi atas khidmat beliau kepada warga Kuala Lumpur sepanjang menjadi wakil rakyat kawasan tersebut.

Beliau turut memberi jaminan bahawa penduduk boleh terus menyalurkan aduan atau mendapatkan bantuan melalui Pejabat DBKL Cawangan Setiawangsa di D’Wangsa, Jalan Wangsa Delima 13, Wangsa Maju.

Selain itu, Hannah berkata, usaha memelihara Bukit Dinding sebagai kawasan hijau dan paru-paru Kuala Lumpur juga akan diteruskan demi manfaat masyarakat setempat.

Semalam, Nik Nazmi mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen Setiawangsa, sekali gus mengumumkan pembentukan parti baharu bersama Datuk Rafizi Ramli.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN