fbpx
Johari ketika berucap pada majlis perasmian IRICE 2025 di Kuala Lumpur Convention Centre di sini, hari ini. Foto oleh ISKANDAR ISHAK/KOSMO!

Malaysia terajui industri getah global dengan empat strategi anjakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Malaysia terus memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan getah global dengan memperkenalkan empat strategi utama bagi memacu pertumbuhan, meningkatkan daya saing dan mengukuhkan kedudukan negara sebagai peneraju industri tersebut.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, strategi itu meliputi pengoptimuman penggunaan tanah, mengurangkan kebergantungan kepada barangan import, meningkatkan piawaian kelestarian serta memperkukuhkan hubungan ekonomi melalui diplomasi.

Beliau yang juga Pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar berkata, kerajaan sentiasa menyokong penganjuran pameran antarabangsa seperti Pameran dan Persidangan Industri Getah Antarabangsa (IRICE) 2025 kerana ia memberi manfaat besar kepada ekonomi negara.

“Industri getah mencatatkan nilai eksport sebanyak RM33.7 bilion pada tahun lalu. Ia bukan sahaja memberi sumbangan kepada pendapatan negara, tetapi juga menjadi sumber rezeki kepada hampir 295,000 pekebun kecil di seluruh negara,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan IRICE 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Menurut Johari, Malaysia kini mengimport sekitar RM7 bilion hingga RM7.5 bilion sebulan bagi memenuhi permintaan industri getah tempatan.

Katanya, usaha mengaktifkan semula tanah terbiar seluas kira-kira 420,000 hektar amat penting bagi mengurangkan kebergantungan terhadap bahan mentah import.

“Dahulu kita merupakan pengeksport utama dunia, namun kini kita antara pengimport terbesar. Justeru, kerajaan mahu membantu pekebun kecil untuk mengusahakan semula tanah yang ada supaya industri getah kembali kukuh,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI